Iklan

Bekas ketua audit dedah kejadian dalam mesyuarat pinda laporan 1MDB

Bede Hong5 years ago1st Dec 2019Berita
1mdb trial 20191127 hasnoor 006
Ambrin Buang mendedahkan tekanan yang diterimanya untuk mengubah laporan audit akhir 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 November, 2019.
Iklan

PERBICARAAN mengubah laporan audit akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) minggu lepas menyaksikan pendedahan dibuat bekas ketua audit negara Ambrin Buang tentang mesyuarat pegawai tinggi pada 2016 yang tertumpu kepada usaha mengubah laporan yang boleh menjejaskan dana pelaburan negara itu.

Ambrin, 70, disoal balas oleh peguam kanan Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah mengenai keputusannya meminda laporan itu.

Dituduh sebagai menggadaikan integritinya, Ambrin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang integritinya tidak tergugat dengan keputusan itu.

“Saya akan kata saya tidak terjejas. Saya sangat yakin dengan fakta,” katanya.

Saksi itu memberi keterangan dalam perbicaraan kes pinda laporan 1MDB yang dituduh dilakukan secara bersama bekas perdana menteri Najib dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk membuang bahagian tertentu laporan audit akhir 1MDB antara 22 dan 26 Februari 2016 di Pejabat Perdana Menteri, sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi melindungi dirinya daripada tindakan perundangan.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib.

Ambrin berkata beliau bertemu Najib pada 22 Februari 2016, di mana bekas perdana menteri itu berjanji akan “menyiasat sedalamnya” tentang percanggahan 1MDB didedahkan laporan audit itu.

“Sebagai ketua audit ketika itu, dan juga penjawat awam, saya melihat permintaan Datuk Seri Najib, yang dibuat atas kapasitinya sebagai perdana menteri, sebagai sesuatu yang perlu dipatuhi tanpa sebarang syak wasangka,” katanya.

Ambrin turut mengesahkan satu lagi mesyuarat diadakan pada 24 Februari 2016 dihadiri sembilan pegawai tinggi termasuk dirinya, Arul Kanda, Arul Kanda, Ali, setiausaha sulit kepada Norazman Ayub, Saadatul Nafisah, wakil Jabatan Peguam Negara Dzulkifli Ahmad, wakil Perbendaharaan Mohamad Isa Hussain dan Asri Hamdin serta Setiausaha Sulit Kanan Najib, Shukry Mohd Salleh.

Di dalam mesyuarat inilah, Ali memberi jaminan beliau akan mengarahkan pegawai Kementerian Kewangan untuk membuat laporan polis.

Bagaimanapun, Ambrin memberitahu mahkamah yang beliau merasa “tertipu” kerana tiada laporan dibuat walaupun jaminan diberi tindakan akan diambil.

Katanya lagi, perjanjian adalah beliau akan mengugurkan laporan asal audit 1MDB jika laporan diambil.

Ambrin juga mendedahkan tentang tekanan diterimanya pada mesyuarat selepas diberitahu gagal meminda laporan audit 1MDB yang boleh menyebabkan nama baik Najib tercalar.

“Kalau namanyanya tercemar, nama negara juga akan tercemar. Ini yang mereka beritahu saya untuk tekan saya supaya pinda laporan,” katanya.

Ambrin juga mengesahkan mesyuarat pada 24 Februari dengan Pengarah Jabatan Audit Negara Nor Salwani Muhammad dirakam.

Beliau mempertahankan tindakan Nor Salwani merakam mesyuarat itu, berkata ia adalah prosedur biasa dan dilakukan kerana pegawai itu tidak hadir mesyuarat.

Ambrin juga mengesahkan beliau mengarahkan semua salinan asal laporan audit akhir 1MDB dimusnahkan, tetapi satu salinan kekal dalam simpanan Nor Salwani.

Beliau memberitahu mahkamah, yang beliau diberi kuasa di bawah Akta Rahsia Rasmi untuk berbuat demikian, dan salinan asal tunggal yang “diselamatkan” itu adalah untuk kegunaan rujukan dalaman agensinya.

Perbicaraan ditangguh kepada 13 Januari. – 1 Disember, 2019.

Iklan
Iklan