Iklan

Jawatankuasa Muafakat Nasional cari jalan perkukuh hubungan Umno-PAS

The Malaysian Insight5 years ago1st Dec 2019Berita
Skuad sabil 20191117 afif 05
Bercakap kepada pemberita di Mesyuarat Agung Tahunan MCA, Mohamad berkata kerjasama itu boleh disusun melalui pembentukan pakatan baru seperti Pakatan Harapan atau dibiarkan sebagai pakatan longgar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2019.
Iklan

JAWATANKUASA Teknikal Muafakat Nasional sedang mencari jalan untuk  mengukuhkan hubungan kerjasama politik yang terjalin antara Umno dan PAS, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Mohamad Hasan.

Bercakap kepada pemberita di Mesyuarat Agung Tahunan MCA, Mohamad berkata kerjasama itu boleh disusun melalui pembentukan pakatan baharu seperti Pakatan Harapan atau dibiarkan sebagai pakatan longgar.

Ia juga akan mengkaji kemungkinan membentuk parti baharu atau membiarkan PAS dan Umno dalam kedudukan status quo.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, berkata Muafakat Nasional kini memasuki fasa kedua kerjasama selepas fasa pemeteraiannya.

“Kami dalam proses menelitinya. Kami akan bentangkan dalam mesyuarat BN,” katanya mengenai sama ada BN akan menyertai Muafakat Nasional.

Beliau juga berkata bahawa terpulang kepada MCA dan MIC sama ada mereka mahu menjadi sebahagian daripada pakatan tersebut dan semua pihak dialu-alukan untuk menyertainya.

Jawatankuasa teknikal itu juga dijangka akan membentangkan cadangan mereka kepada kepimpinan parti dalam masa sebulan.

Beliau berkata pembangkang perlu menawarkan harapan baru kepada rakyat Malaysia dan mesti bertindak sebagai bakal kerajaan dan menghantar isyarat yang tepat kepada rakyat.

“Kita bercakap tentang rakyat Malaysia sekarang, kita tidak bercakap mengenai orang Melayu, Cina atau India. Muafakat Nasional adalah untuk semua orang, “katanya.

Sementara itu, pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan majoriti 15,000 undi pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai adalah ujian pertama pembangkang selepas Muafakat Nasional dibentuk.

Beliau berkata walaupun ia seakan-akan ujian besar, BN bangkit dengan keputusan terbaik dalam rekod pilihanraya baru-baru ini.

Beliau juga mengingatkan pemimpin untuk memberi pandangan mereka secara terus kepada pengerusi dan bukannya mengeluarkan kenyataan. – 1 Disember, 2019. 

Iklan
Iklan