Iklan

Zahid janji kembalikan geran kewangan TAR UC jika BN berkuasa semula

The Malaysian Insight5 years ago1st Dec 2019Berita
Mca agm 011219 tmiseth 14
Ahmad Zahid membuat janji tersebut ketika berucap pada persidangan agung tahunan MCA di Wisma MCA hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Disember, 2019.
Iklan

BARISAN Nasional (BN) berjanji akan mengembalikan geran kewangan kepada Koleh Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) jika kembali berkuasa, kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

Geran antara RM30 juta dan RM60 juta setahun yang diberikan kepada kolej yang ada kaitan dengan MCA itu, dilaporkan telah dipotong oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Langkah itu dilaksanakan bagi memaksa MCA untuk melepaskan kawalan ke atas institusi pengajian itu.

Pada ucapan pembukaan persidangan agung tahunan MCA ke-66 di Wisma MCA hari ini, Ahmad Zahid berkata lebih banyak pengundi Cina sudah kembali kepada BN, lebih tinggi peluang untuk mengembalikan geran itu.

“Lebih banyak pengundi Cina menyokong pembangkang (BN) lebih banyak peruntukan diberikan kepada TAR UC,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

“Ini janji saya. Janjinya kita akan memberi peruntukan kepada TAR UC dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) seperti yang diberikan kerajaan sebelum ini apabila kita mengambil alih sebagai kerajaan (baru).

“Ini janji yang akan ditunaikan,” katanya.

“Jika pengundi Cina memberi lebih banyak sokongan, peruntukan juga akan ditambah,” kata Presiden Umno itu.

MCA mendesak kerajaan PH untuk mengembalikan geran kewangan kepada TAR UC selepas Bajet 2020 hanya memperuntukkan RM1 juta sahaja kepada institusi pengajian itu.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Disember, 2019.
 
Dalam pada itu, Zahid berkata Umno dan BN akan menyokong sekutu politik mereka bagi mendapatkan semula peruntukan itu.

Beliau berkata hal itu berkaitan dengan pendidikan dan tidak perlu menjadi agenda politik, perkauman dan agama.

Di bawah Bajet 2020, peruntukan untuk kolej itu hanya RM1 juta, turun daripada RM5.5 juta yang diberikan pada tahun ini.

Pada 22 November lalu, kerajaan bersetuju menyalurkan RM30 juta kepada TAR UC menerusi sebuah tabung amanah yang diuruskan oleh alumninya,

DAP dan setiausaha agungnya, Lim Guan Eng menyalahkan pemotongan peruntukan kepada kolej itu sebagai antara alasan undi Cina beralih arah kepada BN dan menyebabkan kekalahan teruk PH di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

PRK itu dimenangai oleh calon MCA Wee Jeck Seng dengan majoriti 15,086 undi. – 1 Disember, 2019.

MENYUSUL

Iklan
Iklan