Iklan

Pemuda Amanah gesa Nazri Aziz nasihatkan kerajaan terus buru Jho Low

Amin Iskandar7 years ago27th Oct 2017Berita
Iklan

MENTERI Pelancongan, Mohamed Nazri Aziz seharusnya menasihatkan Putrajaya supaya terus memburu ahli perniagaan Low Taek Jho yang terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil.

Faiz berkata, sebagai menteri dan pengamal undang-undang, Nazri mesti mesti bertindak mempertahankan integriti dan menegakkan keluhuran undang-undang.

“Beliau seharusnya menasihatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk terus mengarahkan pihak polis memburu Jho Low yang mencuri lebih RM20 bilion wang negara melalui penyelewengan 1MDB.

“Nazri atau mana-mana menteri Kabinet tidak seharusnya membiarkan Jho Low terus bebas sedangkan skandal 1MDB ini dianggap punca utama kemerosotan ekonomi negara hari ini dan mencalar maruah negara sehingga digelar kleptokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada nama gelaran Low.

Semalam Nazri berkata, ahli perniagaan kontroversi Low tidak melakukan sebarang kesalahan di Malaysia.

Katanya, kerajaan hanya boleh mengambil tindakan terhadap seseorang individu jika kesalahan dilakukan di dalam negara.

Nazri berkata demikian ketika mengulas mengenai Low atau yang dikaitkan dengan skandal syarikat pelaburan negara 1MDB.

Sebelum itu Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, polis Malaysia sudah menutup siasatan terhadap Low, yang dikehendaki untuk disoal siasat oleh beberapa negara lain.

Dalam kenyataan hari ini Faiz berkata kenyataan Nazri mengatakan Low tidak melakukan kesalahan dalam negara tetapi di luar negara adalah pengakuan secara tidak langsung berkaitan kebenaran fakta ahli perniagaan itu menyeleweng wang 1MDB sepertimana pendedahan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

“Namun, kenyataan Jho Low tidak melakukan kesalahan di dalam negara menunjukkan Nazri tidak faham pendedahan fakta di dalam saman civil forfeiture oleh DoJ (saman DoJ) yang difailkan pada 15 Jun 2017 lalu.

“Pengakuan Nazri terdapat kesalahan Jho Low di luar negara menunjukkan beliau ada membaca saman DoJ kerana saman tersebut adalah satu-satunya dokumen mahkamah yang memperincikan penyelewengan wang 1MDB oleh Jho Low dan MO1, namun gagal memahaminya dengan baik,” katanya.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan pernah mengesahkan MO1 merupakan Perdana Menteri Najib Razak.

Menurut Faiz, sekiranya Nazri membaca secara  teliti dan mengkaji secara mendalam saman DoJ, menteri itu akan mendapati di perenggan 942 muka surat 247, DoJ menggariskan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah undang-undang Malaysia termasuk penipuan menurut seksyen 415 dan 418 Kanun Keseksaan dan pemberian rasuah menurut seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.  

“Semakan di bahagian IV perenggan 298-299 pula mendapati sejumlah RM2.6 bilion telah dimasukkan ke akaun peribadi MO1 di Ambank daripada Tanore Account yang dimiliki Jho Low.

“MO1 disahkan Rahman sebagai Najib dan Ambank adalah institusi kewangan tempatan.

“Jadi, wang yang diseleweng daripada 1MDB tersebut boleh dianggap pelakuan merasuah MO1 bagi mengeluarkan Surat Sokongan yang ditandatangani perdana menteri bagi menjamin pengeluaran bon 1MDB sebanyak AS$3 bilion.

“Bukankah kesalahan ini dilakukan di Malaysia?” soalnya. – 27 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan