Anifah akan berjumpa pengundi Kimanis
Iklan
BEKAS menteri luar Anifah Aman berkata beliau akan kembali ke Kimanis untuk berunding dengan pengundi susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mengadakan pemilihan baharu di kerusi Parlimen Sabah itu.
“Walaupun saya telah menang atas tuduhan yang dibuat, saya perlu memfailkan rayuan hari ini untuk mempertahankan keputusan pengundi di Kimanis.
“Saya akan kembali ke Kimanis dan berbincang dengan penyokong mengenai tindakan saya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan kemenangan Anifah pada pilihan raya umum tahun lalu dicabar oleh calon Parti Warisan Sabah Karim Bujang yang mendakwa berlaku penipuan undi serta rasuah
Pada Ogos lalu mahkamah pilihan raya telah mengisytiharkan kemenangan Anifah tidak sah tetapi menolak tuduhan rasuah.
Lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat hakim mahkamah pilihan raya tidak silap dalam keputusan itu.
“Saya sedih dengan keputusan Mahkamah Persekutuan…namun saya tidak terkejut,” katanya.
Anifah merupakan ahli Parlimen selama tiga tahun untuk Kimanis.
Beliau merupakan adik kepada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.
Tahun lepas beliau memenangi kerusi itu dengan margin tipis sebanyak 156 undi berbanding Karim.
Hakim Lee Heng Cheong pada Ogos lepas membatalkan kemenangan Anifah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di kerusi Parlimen Kimanis selepas menemui undi tidak sah dan unsur manipulasi ke atas peti undi yang digunakan dalam PRU14 untuk kerusi itu.
Anifah keluar dari Umno pada September tahun lepas. – 2 Disember, 2019.