Iklan

Najib beri keterangan dalam perbicaraan SRC International

Bede Hong5 years ago3rd Dec 2019Berita
Najib razak 20191121 afif 02
Najib Razak akan memberi keterangan dari tempat duduk saksi sebagai saksi pembelaan pertama untuk menjawab tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2019.
Iklan

NAJIB Razak akan melakar sejarah hari ini sebagai bekas perdana menteri pertama Malaysia yang akan membela diri berhubung tuduhan rasuah apabila beliau memberi keterangan bersumpah dalam perbicaraan SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau akan membaca daripada kenyataan saksi dan dijangka ia mengambil sebahagian besar masa perbicaraan hari ini.

Tertuduh berusia 66 tahun itu akan menjadi saksi pertama pihak pasukan pembelaan, seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang.

Bagi peringkat pembelaan, tarikh pendengaran ditetapkan bermula hari ini hingga 19 Disember.

“Beliau (Najib) akan membaca daripada kenyataan itu. Ia seperti (sebagaimana) saksi lain membaca kenyataan mereka. Ia adalah perkara yang sama,” kata seorang anggota pasukan pembelaan.

Selepas Najib memberikan keterangan bersumpahnya, beliau akan disoal balas oleh pihak pendakwa.

Kes pendakwaan bagi perbicaraan SRC International menyaksikan 57 saksi memberi keterangan yang melibatkan lebih 57 hari, bermula 3 April hingga 27 Ogos.

Semasa perbicaraan, pihak pendakwa membentangkan lebih 750 bahan bukti termasuk dokumen bank berkaitan dengan akaun Najib, urus niaga tunai, minit mesyuarat dan perbualan Blackberry Messenger berhubung bekas perdana menteri.

Mahkamah Tinggi pada 22 dan 23 Oktober, mendengar penghujahan pasukan pembelaan yang diketuai oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, dan pendakwaan, yang diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membuat keputusan pada 11 November bahawa bukti yang dikemukakan pihak pendakwa menunjukkan Najib menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan, katanya.

Hakim berkata pihak pendakwaan berjaya mewujudkan satu kes prima facie bagi pertuduhan penyalahgunaan kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, pertuduhan CBT di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Najib berdepan tujuh tuduhan jenayah dalam perbicaraan SRC International. Tiga kerana jenayah pecah amanah, tiga kesalahan pengubahan wang haram dan satu bagi penyalahgunaan kuasa. Beliau menghadapi 20 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Tuduhan berhubung pinjaman berjumlah RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011 dan 2012 dengan Najib dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Hakim Nazlan dalam keputusan agar Najib membela diri mengatakan pemimpin itu mempunyai “pengaruh besar” terhadap SRC International sebagai menteri kewangan, memandangkan Menteri Kewangan Diperbadankan adalah pemegang saham tunggal SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tambah hakim lagi, Najib juga menjadi perdana menteri dan mempunyai kuasa di bawah peruntukan dalam SRC “untuk melantik dan dan menyingkirkan pengarah syarikat dan kepadanya juga beberapa perkara khas termasuklah pindaan perlu dirujuk.”

Nazlan juga memutuskan bahawa hujah pembelaan yang Najib tidak memberikan sebarang arahan atau hala tuju, tetapi hanya membuat permohonan berkaitan pinjaman daripada KWAP “goyah ketika dicabar dan dipertikaikan”.

Hakim berkata pinjaman RM4 bilion tidak akan diluluskan panel pelaburan KWAP jika tiada jaminan kerajaan.

Katanya, bukti juga menunjukkan wang sebanyak RM42 juta “diperolehi secara salah” kerana Najib mengeluarkan cek untuk jumlah tersebut.

Najib berkata beliau akan membersihkan namanya di mahkamah.

“Untuk mempertahankan diri, saya perlu memberi kenyataan bersumpah agar boleh disoal balas oleh pihak pendakwaan,” katanya dalam catatan Facebook.

“Peguam dan saya diberi peluang untuk memanggil saksi untuk kali pertama dalam perbicaraan ini.

“Sehingga kini, kita hanya mendengar daripada saksi pendakwaan. Saksi pihak pembela diberikan peluang untuk memberikan gambaran nyata dan membuktikan saya tidak bersalah.

“Saya bakal mendapat peluang untuk membersihkan nama saya di mahkamah.” – 3 Disember, 2019.

Iklan
Iklan