Najib bertindak demi kepentingan kerajaan, kata peguam bela
Iklan
BEKAS perdana menteri Najib Razak sentiasa bertindak demi kepentingan kerajaan dengan kapasiti awamnya berhubung penglibatan beliau dalam SRC International, kata peguam bela kepada mahkamah tinggi hari ini.
Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah ketika membaca penyataan pembukaan pada perbicaraan SRC International hari ini, berkata bekas perdana menteri tidak pernah mengawal atau mengarahkan lembaga pengarah berhubung hal ehwal dan operasi syarikat itu.
“Datuk Seri Najib diperdaya berhubung transaksi dan baki sebenar dalam akaunnya pada 2013 hingga 2015 dan akaunnya dimanipulasi oleh pihak ketiga tanpa pengetahuan dan persetujuannya,” kata Shafee.
“Datuk Seri Najib tidak terlibat dalam sebarang rancangan rasuah yang melibatkan dana SRC International dan tidak meminta sebarang rasuah daripada mana-mana orang.
“RM42 juta yang dipindahkan ke akaunnya dilakukan tanpa pengetahuan atau penglibatannya dan bukan merupakan satu bentuk suapan yang berkaitan dengan sebarang tindakan Datuk Seri Najib dengan SRC International.”
Perbicaraan SRC International masuk ke peringkat membela diri hari ini. Shafee membacakan kenyataan pembukaan sebelum Najib memberi kesaksian, yang dijangka mengambil masa beberapa hari bagi bekas perdana menteri untuk membacakannya di mahkamah.
Najib diperintahkan membela diri pada 11 November selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tujuh tuduhan jenayah Najib - tiga pertuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa.
Tuduhan dalam kes SRC International dikaitkan dengan pinjaman sebanyak RM4 bilion yang dikeluarkan kepada entiti itu pada 2011 dan 2012 dengan Najib dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.
Dalam pernyataan pembukaannya, Shafee berkata Najib tidak pernah mengarahkan lembaga pengarah SRC International melalui bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil.
“Dan taklimat terhad yang beliau terima daripada Nik Faisal memberikan Datuk Seri Najib hanya garis panduan umum mengenai hal ehwal dan inisiatif SRC International yang diwakili dengan arahan lembaga pengarah SRC International.” – 3 Disember, 2019.
Berita penuh di sini