Najib pilih beri keterangan kerana tiada apa hendak disembunyikan, kata Shafee
Iklan
NAJIB Razak memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi kerana beliau tidak bersalah dan tiada apa hendak disembunyikan, kata peguamnya ketika prosiding pembelaan kes SRC International bermula hari ini.
“Beliau memilih untuk ke kandang saksi dan membenarkan dirinya disoal balas atas nasihat kami kerana tiada apa yang perlu ditakutkan,” kata peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah kepada wartawan selepas membuka kes pihak pembelaan hari ini.
“Anda boleh soal dia daripada pelbagai sudut. Saya pasti beliau akan jawab kerana kalau tak bersalah, tak bersalahlah. Jika awak ditipu, awak memang ditipu. Tiada apa yang perlu ditakutkan.”
Najib sedang membaca keterangan bertulis setebal 243 muka surat, yang dijangka mengambil masa beberapa hari. Dalam keterangan itu, beliau memberikan sebab mengapa perlu dibebaskan daripada tujuh pertuduhan jenayah- tiga pecah amanah, tiga pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Pertuduhan dalam kes SRC International berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion dikeluarkan kepada syarikat itu pada 2011 dan 2012, di mana bekas perdana menteri itu dituduh menerima RM42 juta pada 2014 dan 2015.
Selepas Najib diarahkan membela diri pada 1 November lepas, beliau mempunyai tiga pilihan; berdiam diri, memberi keterangan bersumpah dan disoal balas atau memberi keterangan tanpa angka sumpah dan tidak boleh disoal balas.
Shafee berkata Najib memilih jalan berani tidak seperti “ahli politik tertentu, anda tahu siapa, yang memilih untuk tidak disoal balas.”
Walaupun tidak menyatakan nama, Shafee mungkin merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang memilih untuk memberi keterangan tanpa angkat sumpah dari kandang saksi pada perbicaraan kes Liwat II pada 2011.
Shafee enggan mendedahkan senarai saksi pihak pembelaan, bagaimanapun menambah yang Najib mahukan akses kepada dokumen soal siasat Low Taek Jho dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sebilangan saksi ini tidak dapat dikesan atau sudah melarikan diri. Tetapi rakaman keterangan mereka diambil, termasuklah Jho Low, Nik Faisal dan lain-lain. Kami akan mempersoalkan apa salahnya pendakwaan memberikan kami dokumen tersebut jika ia boleh membantu pembelaan.
“Jika mereka ada maklumat yang boleh membantu kes pembelaan, kami merasakan sudah jadi tugas mereka mendedahkannya kepada kami.”
Hujah utama pembelaan Najib, kata Shafee, adalah pemimpin berusia 66 tahun itu diperdaya oleh Jho Low dan lain-lain.
“Ketua kumpulan ini jelas sekali ialah Jho Low kerana jika dia muncul hari ini dan ditangkap, pembelaan anak guam saya akan jadi 100% lebih baik.
“Perkara ini dirancang oleh Jho Low bersama-sama dengan empat orang Arab- dua dari Arab Saudi dan dua lagi dari Abu Dhabi. Keseluruhan pengurusan 1MDB dibayar oleh Jho Low. Mereka makan gaji dengan Jho Low,” tambah Shafee lagi.
Pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas, kes didengar Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – 3 Disember, 2019.