Berapa pampasan dibayar kepada syarikat konsesi tol, soal PKR
Iklan
BERAPAKAH pampasan yang dibayar kerajaan untuk memansuhkan kutipan tol di empat lebuh raya seperti diumumkan Perdana Menteri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2018 hari ini, soal Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Kutipan tol yang dimansuhkan ialah di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah dan di Eastern Dispersal Link, Johor.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata secara prinsip beliau bersetuju dengan pemansuhan tol tetapi jangan dilaksanakan dengan senyap dan di belakang tabir tanpa dijelaskan berapa wang negara yang perlu dibelanjakan sebagai pampasan kepada syarikat konsesi.
“Kerana sebelumnya perjanjian rahsia yang dimeterai antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan syarikat konsesi membolehkan keuntungan luar biasa dinikmati oleh mereka,” kata Nurul Izzah kepada The Malaysian Insight.
“Sedangkan sekiranya perjanjian telus, maka bebanan kepada rakyat mampu dikurangkan sementara prasarana jalan raya memadai buat keperluan rakyat”.
Nurul Izzah berkata pengumuman Najib itu begitu mengejutkan memandangkan BN ternyata membuat “pusingan U” dan mencedok cadangan PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Najib hari ini mengumumkan “berita gembira buat pengguna lebuh raya di Selangor, Kedah dan Johor” dengan memansuhkan kutipan tol di empat plaza tol di tiga negeri tersebut.
Bajet yang dibentangkan oleh Najib bertema, “Memakmurkan Ekonomi Yang Inklusif Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi Transformasi Nasional 50 (TN50)”.
Ini merupakan belanjawan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan selewat-lewatnya Ogos tahun depan.
Langkah pemansuhan tol ini dilihat sebagai usaha untuk membantu BN Selangor merampas kembali negeri terkaya Malaysia itu selepas dua penggal dikuasai pembangkang Pakatan Harapan (PH) sejak 2008, kata penganalisis.
Umno Shah Alam sebelum ini pernah membentangkan usul supaya kutipan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan agar peluang BN menawan kembali Selangor semakin mudah.
Ketua Umno Bahagian Shah Alam Azhari Shaari dalam sebuah ucapan pada 2016 mengakui plaza tol itu antara punca Umno kalah pada PRU13 di Selangor.
Pada masa ini, pengguna kereta dikenakan tol RM1.10 di Batu Tiga, manakala RM1.00 di Sungai Rasau menuju Klang. – 27 Oktober, 2017.