Iklan

Ya, Bajet 2018, bajet PRU14, kata Zahid

Yasmin Ramlan7 years ago27th Oct 2017Berita
Zahid hamidi 20171026 tmihasnoor 006
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengakui Bajet 2018 yang dibentangkan hari ini merupakan bajet persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2017.
Iklan

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengakui Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak di Parlimen hari ini merupakan bajet persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Betullah tu. (Ini bajet PRU). Habis nak buat apa lagi,” katanya ketika ditanya sama ada bajet itu merupakan bajet bagi persediaan pilihan raya akan datang.

Memuji pembentangan bajet tersebut, Zahid berkata bajet 2018 kali ini merupakan peruntukan yang merangkumi kesemua golongan dan bukan hanya memberikan tumpuan kepada golongan B40 dan M40 seperti sebelum ini, tetapi juga golongan minoriti

“Ia merupakan perbelanjaan yang cukup cemerlang bagi saya selama perdana menteri mengetuai kementerian kewangan dan menjadi perdana menteri Malaysia,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mengulas mengenai tindakan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang mengangkat plakad “Pakatan Harapan gaji minimum RM1,500” dan plakad simbol PH tiada GST selepas Najib selesai berucap, Zahid berkata tindakan itu menunjukkan PH kecewa dengan Bajet 2018 yang dilihat lebih baik.

“Saya fikir mereka ‘frust’ bajet (Bajet 2018) lebih baik,” katanya.

Ahli Parlimen PH turut melaungkan “kleptokrasi!” ketika di dalam dewan.

Bagaimanapun, ahli Parlimen BN membalas aksi itu dengan mengangkat buku Bajet 2018 sebagai membalas laungan tersebut.

Mengulas mengenai pujian Najib kepadanya, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata pujian itu melebihi bajet yang dibentangkan petang tadi.

“Secara peribadi, akhirnya saya amat merasa teruja dengan pengiktirafan diberikan perdana menteri kepada saya sebagai sahabat yang setia.

“Itu melebihi daripada bajet yang ada, ia penghargaan ketua kerajaan kepada timbalannya. Sebagai sahabat lama bersama beliau, (saya) rasa amat dihargai,” katanya. – 27 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan