Iklan

Kagum dengan Islam moderat Malaysia, Arab Saudi beri derma, kata Najib

Bede HongRavin Palanisamy5 years ago4th Dec 2019Berita
Najib razak 041219 tmiseth 05
Najib Razak sedang membacakan keterangan bersumpah dalam perbicaraan kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Disember, 2019.
Iklan

BEKAS perdana menteri Najib Razak memberitahu mahkamah hari ini yang beliau menerima wang derma didakwa daripada keluarga diraja Arab Saudi yang kagum dengan Islam moderat di Malaysia.

Mahkamah juga dimaklumkan yang Low Taek Jho, atau Jho Low, mengatur pertemuan Najib dengan Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud pada beberapa lawatannya di Riyadh dan Jeddah.

“Pada satu kejadian, sebelum lawatan rasmi saya ke Arab Saudi pada Januari 2010, Jho Low memberitahu saya yang Raja Abdullah sangat kagum dengan Islam moderat Malaysia dan layanan sama rata orang Islam dan bukan Islam,” kata Najib yang memberi keterangan bersumpah pada prosiding pembelaan kesnya.

Dalam kes SRC International, beliau berdepan pertuduhan berkaitan pinjaman RM4 bilion diberi kepada syarikat itu pada 2011 dan 2012, di mana beliau dituduh menerima suapan RM42 juta yang masuk ke dalam akaun bank peribadinya pada 2014 dan 2015.

Tertuduh berusia 66 tahun itu membacakan keterangan bersumpah setebal 243 muka surat dari kandang saksi berkaitan pertuduhan itu.

Najib berkata Jho Low memberitahu yang beliau dikurniakan darjah kebesaran “King Abdulaziz Order of Merit (1st Class)”, yang diterimanya pada Januari 2010.

Tambahnya, ketika lawatan itulah, beliau dan Raja Abdullah berbincang tentang kerjasama menghapuskan keganasan.

“Raja Abdullah memberi perhatian khas kepada kebangkitan militan Islam dan ajaran pelampau dan memohon saya memastikan Malaysia kekal bebas daripada anasir negatif.

“Berkaitan hal itu, Raja Abdullah secara peribadi memberi jaminan yang beliau akan menyokong kepimpinan saya bagi memastikan saya terus mengetuai negara dan menjadi tauladan bagaimana Islam diamalkan. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Raja Abdullah,” katanya.

Najib berkata pada pertengahan tahun 2010, Jho Low memaklumkan yang Raja Abdullah bersetuju menunjukkan sokongannya dalam bentuk derma peribadi.

“Pada ketika itu, saya tidak tahu jumlah transaksi kecuali derma itu akan diuruskan oleh seorang putera. Jho Low memberitahu saya yang beliau akan memberitahu butiran lanjut mengenainya apabila beliau mendapatnya (maklumat mengenainya).

“Selepas itu, sekitar 2010, Jho Low mengesahkan derma akan dipindahkan. Sejak 2011 hingga 2014, saya menerima sejumlah wang yang banyak yang mana saya percaya ia adalah derma daripada Raja Abdullah sebagai tanda sokongan.

“Jho Low bertindak sebagai orang tengah dalam perkara ini dan saya percayakan beliau untuk menguruskan derma bagi pihak keluarga diraja Saudi. Beberapa surat berkaitan derma itu diterima oleh AmBank dan saya sendiri daripada Jho Low.”

Tentang sama ada Low pernah menyebut jumlah tertentu: “Tiada jumlah tertentu disebut kepada saya, tetapi Jho Low ada berkata ia mungkin sekitar AS$100 juta sehingga AS$200 juta.”

Ditanya sama ada beliau terkejut dengan jumlah itu, Najib berkata: “Ia mungkin nampak sangat banyak tetapi saya diberitahu yang keluarga diraja Saudi sangat pemurah dan sebelum itu menderma jumlah besar kepada yayasan di AS, termasuk Yayasan Clinton dan negara lain seperti Mesir, Pakisatn dan Palestin dalam sebahagian usaha diplomasi dua negara dan dasar diplomatik.”

Menguatkan kepercayaan Najib yang Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan keluarga diraja Saudi apabila permohonan Malaysia untuk meningkatkan kuota haji diluluskan.

Najib menambah ketika gerakan Kebangkitan Arab, Jho Low mengaturkan pemindahan beberapa orang pelajar Malaysia melalui Jeddah dari Mesir tanpa memerlukan visa.

“Saya juga menerima Kiswah (kain menutup Kaabah di Mekah) sebagai hadiah dari Raja Abdullah. Saya masih simpan sampai sekarang.”

Najib diwakili sekumpulan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah, Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendengar kes. – 4 Disember, 2019.

Iklan
Iklan