Bajet 2018 tak fokus kos sara hidup rakyat, kata pemimpin PAS
Iklan
BAJET 2018 masih banyak yang tertinggal terutamanya dari segi kos sara hidup untuk rakyat, kata Naib Presiden PAS Idris Ahmad.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, walaupun dilihat pembentangan Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak itu seperti menyentuh pelbagai aspek tetapi masih banyak lagi yang dilupakan.
“Di luar bandar, banyak yang masih tertinggal, itu yang patut ditumpukan. Dan kita masih tak fokus bagaimana nak atasi kos sara hidup di kalangan rakyat yang semua tertekan.
“Walaupun dia (Najib) sebut macam-macam tadi, tapi kita lihat ikan kembung sekilo RM18, kerang RM12. Jadi perkara-perkara seperti itu belum lagi kita fikir untuk diatasi walau nak tubuh Lembaga Tenusu dan Ruminan, tapi kita lihat ini perkara yang perlu dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Najib berkata peruntukan paling besar juga disediakan kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah sebanyak RM6.5 bilion.
Katanya, dalam memperkasakan sektor pertanian, RM200 juta disediakan bagi inisiatif Sumber Kekayaan Baharu, khususnya untuk penanaman jagung bijian, kelapa, durian, dan sektor kulinari serta industri tenusu dengan menubuhkan Lembaga Tenusu dan Ruminan.
Idris turut menyentuh mengenai Projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang beliau katakan satu projek gagal.
“Dulu kita lihat NFC gagal. Akhirnya dana tak dapat kita tampung masalah dan kurangkan kadar import makanan kita,” katanya.
Beliau turut menambah, bajet tersebut dilihat sebagai bajet pilihan raya yang ketara apabila ia banyak menumpukan kepada golongan seperti golongan agama dan pekebun kecil.
“Ini bajet untuk pilihan raya yang ketara kita lihat bila diberi kepada orang di peringkat bawah terutama imam, siam, tok batin yang dapat RM1,500. Itu indikator.
“(Ini) Termasuk juga bantuan untuk pekebun kecil. Persoalannya, kita harap bajet tahun lepas, kena tunggu bulan 11. Dapat atau tak dapat, setakat ini tiada tanda-tanda yang mengatakan (akan terima). Saya ada berhubung dengan beberapa pihak yang terlibat, setakat ni tiada tanda yang mereka sepatut dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian merujuk kepada bantuan musim tengkujuh sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan diumumkan pada pembentangan Bajet 2017 membabitkan peruntukan RM261 juta.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata kerajaan tidak bercadang mengagihkan bantuan musim tengkujuh kepada 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah lebih awal daripada tempoh tiga bulan ditetapkan bermula November setiap tahun walaupun harga getah berada pada tahap kurang baik. – 27 Oktober, 2017.