Iklan

Kemajuan Selangor bergantung kepada Putrajaya, Noh Omar beritahu Azmin

Yasmin Ramlan7 years ago27th Oct 2017Berita
Noh omar 051017 tmiseth 03 (1)
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar juga mempersoalkan sumbangan Azmin kepada rakyat di Selangor jika dibandingkan dengan Putrajaya yang menyediakan pengangkutan awam di negeri itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2017.
Iklan

MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar mengingatkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali kemajuan negeri itu  bergantung kepada Putrajaya.

Noh yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor juga mempersoalkan sumbangan Timbalan Presiden PKR tersebut kepada rakyat di negeri terkaya di Malaysia itu jika dibandingkan dengan Putrajaya yang menyediakan pengangkutan awam di negeri itu.

“Apa yang lebihnya Selangor? Azmin kena ingat, apa sumbangan Selangor ini kepada rakyat. Kita kena ingat, kemajuan Selangor bergantung kepada federal (Kerajaan Persekutuan).

“Kita buat KLIA, klia2 di Selangor…MRT, LRT masuk Selangor siapa buat? Highway siapa buat? Jadi tak ada perkara yang dibanggakan sebagai apa yang dia kata tiru Selangor. Apa pun, kita lihat keseluruhan bajet ini bagi faedah kepada semua,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian apabila mengulas kenyataan Azmin yang mendakwa pemansuhan beberapa tol di negeri Selangor, Kedah dan Johor dalam pembentangan Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib Razak petang tadi meniru bajet alternatif Pakatan Harapan (PH). 

Najib mengumumkan “berita gembira buat pengguna lebuh raya di Selangor, Kedah dan Johor” dengan memansuhkan kutipan tol di empat plaza tol di tiga negeri tersebut.

Kutipan tol yang dimansuhkan ialah di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah dan di Eastern Dispersal Link, Johor. – 27 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan