Beli kapal terbang, kapal laut tak kena GST
Iklan
PEMBELIAN kapal terbang dan kapal laut oleh syarikat penerbangan berdaftar akan dikecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Perdana Menteri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat semalam.
Najib yang juga menteri kewangan berkata, pelepasan GST ini akan bermula berkuatkuasa 1 Januari, 2018.
“Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan ‘big ticket items’ seperti kapal terbang dan kapal laut, oleh syarikat penerbangan dan perkapalan yang berdaftar di Malaysia,” kata Najib dalam ucapannya semalam.
Dalam pertemuannya bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada pertengahan September di White House, Najib membuat tawaran bagi Malaysia Airlines Berhad (MAS) untuk membeli pesawat Boeing berharga AS$10 bilion (RM42 bilion).
Najib berkata Malaysia berniat untuk menambah pesawat Boeing yang akan dibeli MAS.
“Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat,” kata Najib.
Najib berkata kerajaan Malaysia juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.
Bagaimanapun, pada 17 September lalu, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS, Peter Bellew menegaskan ia tidak akan membiaya dan memiliki 16 kapal terbang yang dibeli daripada syarikat penerbangan AS Boeing.
Sebaliknya, beliau berkata syarikat pemajak antarabangsa yang akan membeli kapal terbang itu dan memajaknya kepada MAS.
“Kapal terbang ini tidak akan dimiliki oleh Malaysia Airlines, namun akan dipajak, yang merupakan lumrah dalam industri penerbangan moden,” kata Bellew dalam memo dalaman bertarikh 15 September.
Baru-baru ini Bellew yang berasal dari Ireland melepaskan jawatan sebagai CEO selepas mengetuai syarikat penerbangan negara yang tenat bagi tempoh hanya setahun untuk kembali ke Ryanair yang disifatkannya sebagai panggilan “demi negaraku”.
Ryanair ialah syarikat penerbangan tambang murah yang beribu pejabat di Dublin, Ireland.
Tindakan beliau itu mencetuskan spekulasi yang ia berpunca daripada campur tangan Najib sebagaimana ditulis oleh bekas perdana menteri dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata Bellew meletakkan jawatan kerana campur tangan Najib dalam pengurusan MAS tanpa merujuk kepada lembaga pengarah dan pengurusan syarikat itu.
Bellew bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
“Tun Mahathir silap. 100% silap. Tiada sesiapa yang mempunyai hubungan dengannya (Najib) pernah berhubungan (dengan saya) untuk periksa. Tiada campur tangan. Saya cuma mahu balik kampung,” kata Bellew pada satu sidang media diadakan di Damansara. – 28 Oktober, 2017.