Iklan

Pemansuhan tol taktik untuk menang PRU14, kata pemimpin Pakatan

Yasmin Ramlan7 years ago28th Oct 2017Berita
Traffic jams tmi nazirsufari 257
Pemansuhan itu secara tidak langsung mengiyakan desakan Pakatan Harapan selama ini bahawa tol boleh dihapuskan oleh kerajaan, kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
Iklan

PEMANSUHAN beberapa tol di Selangor, Johor dan Kedah merupakan kawasan kritikal yang ingin dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata ia amat jelas yang Selangor menjadi tumpuan utama.

“Tidak pasti sama ada Najib mensasarkan Selangor secara khusus sebagai negeri utama untuk menang, manakala Kedah dan Johor adalah negeri untuk mempertahankannya.

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah apakah syarat sebenar pemansuhan itu?

“Sekiranya kerajaan Persekutuan membayar pampasan yang besar atau memanjangkan konsesi tol yang lain, maka sebenarnya pembayar cukai akan membayar kos tersebut,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu kepada The Malaysian Insight.

Perdana Menteri Najib Razak semalam mengumumkan “berita gembira buat pengguna lebuh raya di Selangor, Kedah dan Johor” dengan memansuhkan kutipan tol di empat plaza tol di tiga negeri tersebut.

Kutipan tol yang dimansuhkan ialah di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah dan di Eastern Dispersal Link, Johor.

Timbalan Menteri Kewangan Johari Abdul Ghani selepas pembentangan Bajet 2018 semalam memberitahu pemberita bahawa konsesi tol PLUS akan menerima ganti rugi di atas pemasuhan kutipan tol-tol itu.

Pampasan itu kata Johari bukan dalam bentuk tunai tetapi kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh pengendali tol itu.

“Pada dasarnya kami akan menstruktur semula sebahagian tol yang sedia ada yang kami tidak mansuhkan. Mungkin akan lanjutkan tempoh kendalian untuk ganti semula tol yang dimansuhkan,” katanya.

Mengenai jumlah yang terlibat dalam urus niaga antara kerajaan dan PLUS, Johari berkata Putrajaya sedang mengusahakannya.

“Kita perlu lakukan berdasarkan nisbah,” katanya.

Johari berkata pemansuhan dua tol di Selangor akan memberi manfaat kepada 140,000 pengguna jalan raya.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, biarpun Putrajaya akan menghapuskan beberapa tol di tiga negeri terbabit, tetapi tidak mustahil akan mengenakan kenaikan kadar tol di negeri “zon selamat” mereka atau tol lain di ibu kota pula.

“Dia (Najib) mungkin memperkenalkan tol-tol yang lebih tinggi macam kawasan di Kuala Lumpur yang memang orang tak boleh lari, di mana, rakyat nak tak nak mereka terpaksa terima. Macam tol Duta, NKVE (Lebuhraya Baru Lembah Klang) ataupun KESAS (Lebuhraya Shah Alam).

“Dia boleh hapuskan tol di kawasan kritikal ini (Selangor, Johor dan Kedah) tapi akan naikkan di kawasan kritikal yang lain, contohnya Perak atau kawasan (negeri) yang dia rasa selamat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan melihat pemansuhan itu secara tidak langsung mengiyakan desakan PH selama ini bahawa tol boleh dihapuskan oleh kerajaan.

“Sebenarnya ia akan makan diri kerana itu ialah yang didesak PH selama ini. Jadi bila Najib umum mansuhkan (tol), Najib beri bayangan dua perkara; pertama, apa yang didesak PH selama ini mendapat sokongan ramai dan popular. Itu ialah suara rakyat yang terbanyak dan kalau mereka tidak akur akan beri kesan kepada undi mereka.

“Tapi yang lebih berbahaya sama ada mereka sedar atau tidak sedar (yang) mereka dah tak boleh buat apa-apa dengan memansuhkan tiga tol itu. Ia mengiyakan hujah PH selama ini bahawa tol boleh dihapuskan,” katanya.

Pengerusi Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad yang turut senada dengan Rafizi berkata cadangan PH dalam pemansuhan tol di negara ini yang dikritik kerajaan itu kini digunapakai dalam Bajet 2018 petang tadi.

“Bagi saya ianya bukti bahawa halangan terhadap pemansuhan tol adalah (dari) BN sendiri. Sekiranya diinginkan, maka ianya boleh dilakukan. Ianya satu vindication atau pembuktian kebenaran pihak PH yg selama ini ditohmah sebagai tidak realistik, tak mungkin dilakukan, bajet penipu dan sebagainya apabila kita sebut soal pemansuhan tol,” katanya.

“Yang ingin saya katakan pada rakyat ialah ini hanya permulaan. Biar diselesaikan prosesnya dengan kemenangan PH (dalam PRU14). Kesemua tol akan dihapuskan secara berperingkat,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Mengulas lanjut mengenai pengumuman itu, Rafizi berkata, Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Najib itu sebenarnya memberi kelebihan kepada PH sendiri kerana Najib seolah-olah membuat pusingan-U dengan secara tidak langsung terpaksa menerima apa yang PH perjuangkan selama ini.

“Dia kata PH (buat) U-turn tapi sebenarnya apa yg dia buat, dia terpaksa menerima segala (hakikat yang) pengumuman-pengumuman yang dia buat (dalam Bajet 2018) itu adalah respons kepada apa yang PH perjuangkan,” katanya.

Terdahulu, selepas pembentangan bajet, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata langkah kerajaan memansuhkan dua tol di Selangor, merupakan “kemenangan” untuk rakyat Selangor.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada rakyat Selangor atas keberanian mereka memperjuangkan hak mereka.

Pemansuhan tol itu habuan untuk mereka selepas bertahun-tahun berjuang. Kerajaan persekutuan akhirnya tunduk kepada rakyat Selangor,” katanya.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, sesetengah inisiatif yang diumumkan oleh Najib dalam pembentangan tersebut sudah pun diperkenalkan di Selangor. – 28 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan