Iklan

Musa Aman tidak kaya semasa masuk Umno, kata Shafie

Radzi Razak7 years ago28th Oct 2017Berita
Iklan

SHAFIE Apdal hari ini menyindir seteru politiknya, Musa Aman dengan mendakwa beliau tahu asal usul Ketua Menteri Sabah itu yang “tidak kaya” sewaktu menyertai Umno.

Presiden Parti Warisan Sabah itu bagaimanapun tidak bercerita lebih sebaliknya mengatakan Musa, yang juga Pengerusi Umno Sabah, hanya tahu mengayakan dirinya sendiri tetapi membiarkan rakyat Sabah terus miskin.

“Masa kita ambil dulu (masuk) Umno, dia (Musa) mana ada jet, mana ada harta. 

“Saya kenal Musa Aman. Tanya Tun Sakaran bin Dandai, saya tahu dia (Musa).

“Sekarang ini di Sabah, orang Semporna, orang Kudat, orang Libaran semua miskin. Yang kaya hanya Musa Aman,” kata Shafie di hadapan lebih dua ribu penyokongnya yang berhimpun menyambut kepulangannya ke Kg Bubul, dekat Semporna hari ini.

Shafie pulang ke kampung halamannya sehari selepas dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu setelah lapan hari ditahan reman.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu ditahan reman sejak 20 Oktober lalu bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana kementerian itu antara 2009 hingga 2015. 

Dana berjumlah RM1.5 bilion yang didakwa diseleweng itu sepatutnya digunakan bagi tujuan bekalan air dan elektrik serta membuat jalan raya di Sabah.

Selepas dibebaskan semalam, Shafie berkata beliau akan mendedahkan segala-galanya tentang Musa sekiranya diberi peluang bercakap di Parlimen minggu depan.

Persaingan antara Shafie dan Musa berlaku sejak bertahun lalu dan dilihat lebih kepada persaingan dua keluarga dari bahagian Timur Sabah yang telah memuncak sebelum ini untuk merebut jawatan Ketua Menteri Sabah pada 2008 dan jawatan naib presiden Umno pada 2013.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna sejak 1995 turut mendakwa salah satu projek KKLW di kawasannya dilakukan dengan terbuka sehingga memberi faedah kepada proksi Musa sendiri.

“Projek seperti loji air di Sungai Intan. Ia dinaik taraf supaya saluran bekalan air kepada Semporna makin baik. Kita buat tender terbuka. Bila buat tender terbuka yang dapat anak buah Musa Aman. Bukan anak buah saya.

“Apa kamu ingat saya minta duit dari dia? Saya tidak minta duit dari kontraktor dia (Musa),” kata beliau disambut jeritan sokongan daripada penyokong yang memenuhi dewan di kawasan rumahnya itu.

Loji bernilai lebih RM 40 juta tersebut turut dilaporkan sebagai salah satu projek yang disiasat oleh SPRM oleh beberapa media dan blogger dari Sabah dan juga sebagai alat untuk menyerang Shafie sendiri.

Sementara itu, Ketua Pemuda Warisan, Azis Jamman yang direman selama lima hari 10 Oktober lalu turut mencabar Umno Sabah bagi membuktikan projek KKLW ketika zaman Shafie adalah gagal.

“Ada kata Shafie memiliki 23 syarikat dan projek (bernilai) RM1.5 bilion. Saya mahu tanya orang- orang Umno. Mana projek KKLW yang terbengkalai? Mana yang tak siap. Yang lebih lucu ini projek tahun 2009, ada yang 2013 mengapa sekarang baru tangkap?” kata beliau dalam majlis yang sama.

Bagaimanapun Shafie dan Azis yang juga bekas ketua Pemuda Umno Semporna di bawah Shafie tenang dan menyatakan beliau berpuas hati dengan layanan pegawai SPRM sepanjang direman di ibu pejabat suruhanjaya itu di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, Kota Kinabalu. – 28 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan