Raja Arab Saudi derma kerana kagum dengan Malaysia, kata Najib
Iklan
NAJIB Razak pada Rabu lalu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau menerima derma peribadi sebanyak AS$800 juta (RM2.4 bilion) dari Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pada hujung 2013.
Semasa membaca keterangan membela diri setebal 243 muka surat, bekas perdana menteri itu juga menafikan beliau berkuasa penuh ke atas SRC International dan menegaskan beliau tidak tahu-menahu mengenai operasi syarikat itu.
Ahli Parlimen Pekan itu dihadapkan dengan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International.
Tuduhan yang dihadapi Najib, 66, adalah berkaitan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International pada 2011 dan 2012. Beliau dituduh menerima RM42 juta yang dimasukkan ke akaunnya pada 2014 dan 2015.
Bekas menteri kewangan itu juga memberitahu mahkamah beliau percaya derma tersebut diberi kerana Raja Abdullah kagum dengan Malaysia yang mengamalkan Islam sederhana.
Najib juga berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang mengaturkan pertemuan dengan Raja Abdullah di Jedaah pada 2010.
Bekas perdana menteri itu merujuk kepada surat bertarikh 1 Mac 2013 yang dikatakan dari wakil sah Raja Abdullah, yang membenarkan duit derma itu dibelanjakan “atas budi bicara beliau”.
“Raja Abdullah menyedari ia adalah pilihan raya umum pada 2013. Pada dasarnya beliau tidak mahu kesan buruk seperti Kebangkitan Arab (Arab Spring) tersebar di Malaysia kerana beliau mempunyai pandangan positif tentang bagaimana Malaysia muncul sebagai contoh negara yang mengamalkan makna Islam sebenar,” katanya di mahkamah.
Najib berkata beliau percaya derma tersebut disalurkan melalui Tanore Finance Corp, dan beliau diberitahu syarikat itu ada kaitan dengan Raja Abdullah.
Tambah Najib, beliau hanya mendapat tahu mengenai transaksi Tanore ketika disoal-siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 dan selepas pasukan peguam beliau mendapat dokumen bank dari AmBank bagi akaun yang berakhir dengan nombor “694”.
Najib juga berkata beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi di SRC International. – 8 Disember, 2019.