Tunggu apa lagi, Shafie Apdal
Iklan
DALAM bahasa mudahnya, Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal yang juga bekas menteri kabinet dikaitkan dengan penyelewengan sehingga RM1.5 bilion dana persekutuan yang sepatutnya disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang pernah beliau terajui.
Bukan hanya dia, tetapi keluarga dan penyokongnya. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menyiasat 14 buah syarikat di Sabah yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan RM48 juta dana yang diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar itu. Ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan penyiasatan kes yang sama.
Selepas dibebaskan daripada tahanan reman lapan hari, sebagai reaksinya, Shafie berkata dia akan mendedahkan perihal pemimpin Sabah yang didakwanya mengaut untuk daripada pelbagai projek terutamanya musuh ketat politiknya, Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.
Sepatutnya, dia jangan berhenti setakat itu sahaja. Jangan hanya di Sabah, dedahkan juga perihal seluruh Malaysia.
Meminjam kata-kata Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, Shafie sepatutnya mengeringkan paya.
Namakan saja bekas rakan-rakan yang menyeleweng duit pembayar cukai masuk ke poket sendiri. Namakanlah semua yang berminat jadi kleptokrat di semua kementerian yang pernah beliau duduki.
Ini akan jadi petunjuk paling kukuh bahawa dia bersedia untuk memisahkan dirinya daripada masa lalu. Jangan jadi macam orang lain yang mendakwa ada berkotak-kotak bukti tetapi tidak pernah pula menunjukkan apa-apa. Shafie sebaliknya hendaklah berpegang pada kata-katanya dan dedahkan saja segala-galanya.
Itulah juga yang dia katakan dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight seminggu sebelum dia ditangkap baru-baru ini.
“Saya inner circle Najib. Saya tahu banyak benda,” kata Shafie, merujuk kepada kawan baiknya, Perdana Menteri dan Presiden Umno Najib Razak.
Dan semalam, ahli politik yang marah dan kecewa itu meluahkan rasa hatinya: “Orang Sabah tak kenal Najib. Saya bantu dia untuk menjayakan politik dia di Sabah ini.”
Shafie ada alasan untuk rasa terluka walaupun batu yang dibalingnya nanti akan menghancurkan rumah kacanya sendiri. Dia dilihat antara menteri yang mencapai prestasi baik apabila Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) membuat penilaian prestasi kementerian-kementerian setiap tahun.
Shafie kesal kerana selama ini tidak ada rungutan semasa dia dalam Kabinet tetapi sekarang ada siasatan dan dakwaan yang seluas-luasnya.
Semua itu menunjukkan satu perkara tentang Umno. Semuanya elok dan baik-baik saja kalau menyokong tetapi semuanya buruk belaka apabila sudah tidak lagi bersama atau tersingkir. Gaya politik “sokong atau tidak sokong” ini sudah ada lama sejak zaman Dr Mahathir Mohamad dalam Umno dan masih lagi ada sampai sekarang.
Cara ini mesti dihentikan. Shafie patut dedahkan apa yang dia tahu kerana dia sedang diserang dan belum tahu bila masanya tiba kalau dia menunggu untuk mendedahkannya di mahkamah.
Inilah masa yang terbaik untuk mendedahkan segala-galanya, menutup segala lubang yang membocorkan berjuta-juta duit rakyat. – 29 Oktober, 2017.