Iklan

Saya tak tahu tentang operasi SRC International, kata Najib

Bede HongRavin Palanisamy5 years ago11th Dec 2019Berita
Najib razak src 111219 tmiseth 04
Semasa disoal Peguam Negara Tommy Thomas, Najib Razak ditanya setakat mana beliau tahu mengenai operasi SRC International semasa Kabinet meluluskan jaminan kerajaan kedua bagi pinjaman RM2 bilion KWAP pada 8 Februari 2012. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Disember, 2019.
Iklan

NAJIB Razak hari ini berkata beliau tidak tahu mengenai urusan operasi SRC International Sdn Bhd selepas meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) kepada syarikat itu pada 2011 dan 2012.

Najib berkata demikian ketika disoal balas pendakwaan pada perbicaraan kes melibatkan beliau yang dituduh menyeleweng RM42 juta dana SRC International, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Semasa disoal Peguam Negara Tommy Thomas, Najib ditanya setakat mana beliau tahu mengenai operasi SRC International semasa Kabinet meluluskan jaminan kerajaan kedua bagi pinjaman RM2 bilion KWAP pada 8 Februari 2012.

Kata Najib, beliau tidak tahu pinjaman pertama berjumlah RM2 bilion dipindahkan ke Falcon Private Bank di Switzerland dan Julius Baer Bank di Hong Kong. 

Mahkamah juga diberitahu bahawa jaminan kerajaan bagi pinjaman pertama tersebut diluluskan semasa mesyuarat Kabinet pada 17 Ogos 2012.

Thomas: Mengenai pinjaman kerajaan yang kedua, ia sekitar enam bulan selepas pinjaman pertama dibayar. Sudah tentu pada ketika ini, apabila kamu sebut tentang jaminan kerajaan kedua, kamu akan tanya,“Apa jadi pada pinjaman RM2 bilion enam bulan lepas?”.

Ada tanya soalan itu?

Najib: Ya, saya ada bertanya.

Thomas: Apa kata mereka?

Najib: Ia diketepikan untuk pelaburan lain. Mereka ada rancangan pelaburan segera. Itu yang saya diberitahu.

Thomas: Adakah wang tunai dalam bank?

Najib: Ya.

Thomas: Kekal dalam bentuk tunai dalam bank?

Najib: Saya tak pasti, tetapi saya tanya pada mereka, dan mereka kata untuk tujuan pelaburan. Saya tak tanya di mana duit itu. Mereka cuma kata ia untuk pelaburan segera.

Thomas: Ada tanya sama ada wang tunai itu ada di Malaysia?

Najib: Saya tak bertanya lanjut.

Thomas: Saya katakan kepada kamu bahawa tindakan kamu salah.

Najib: Tidak, saya tak setuju.

Thomas: Ada sebarang rujukan tentang apa yang terjadi pada RM2 bilion yang dibayar dalam pinjaman pertama? Adakah Kabinet diberitahu?

Najib: Tidak secara khusus. – 11 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.            

Iklan
Iklan