Najib dan peguam negara bertikam lidah berhubung RM4 bilion yang hilang
Iklan
NAJIB Razak dilihat berang ketika perbalahan mulut dengan Peguam Negara Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, apabila beliau dengan tegas menafikan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa untuk mengetahui apa yang berlaku kepada pinjaman SRC International pada 2013.
Bekas perdana menteri itu diperiksa balas oleh Thomas yang menekannya berhubung mengapa beliau tidak mengarahkan menteri kewangan kedua ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah untuk ke Switzerland yang mana SRC International menyimpan dana di bank BSI yang beribu pejabat di Lugano.
Kerajaan Switzerland kemudian membekukan kira-kira RM3 bilion atas dakwaan kesalahan pengubahan wang haram.
Thomas: Saya letakkan ke atas kamu bahawa kamu tidak mahu Husni pergi ke Switzerland kerana kamu tidak mahu beliau tahu perkara sebenar.
Najib: Tidak.
Thomas: Saya letakkan ke atas kamu bahawa kamu tidak mahu Husni mengetahui apa yang sedang kamu sembunyikan.
Najib: Saya tidak bersetuju.
Thomas: Mengapa kerajaan Malaysia berikan dua jaminan kerajaan berjumlah RM4 bilion melainkan kamu sebagai perdana menteri dan menteri kewangan mendesaknya.
Najib: SRC ditubuhkan dengan perjanjian dengan EPU (Unit Perancangan Ekonomi) kerana ia untuk faedah negara. Ia untuk mempunyai dana yang perlu, itu sebabnya bersetuju untuk meluluskan pinjaman.
Thomas: Saya letakkan ke atas kamu bahawa jawapan kamu hari ini adalah untuk menutup.
Najib: Itu tidak benar. Saya tidak setuju.
Thomas kemudian menegaskan bahawa SRC International telah menjadi tidak berkemampuan setelah mendapat pinjaman lebih lanjut daripada kerajaan untuk membayar faedah pinjaman RM4 bilion sebelumnya dari KWAP.
Thomas: Tahap dan skop penglibatan kamu, baik sebagai penasihat dan pemegang saham, kamu sangat penting dalam mendapatkan pinjaman. Adakah kamu tidak terkejut dengan apa yang berlaku pada RM4 bilion?
Najib: Kami lantik SRC…
Thomas: Saya mohon maaf, tetapi SRC tidak dibicarakan di sini. Kamu yang dibicarakan. Kamu perlu jawab soalan.
Najib: Ya saya terkejut. Tetapi saya arahkan SRC untuk menyiasatnya. Apa lagi yang perlu saya lakukan?
Thomas kemudian bertanya sama ada Najib memanggil lima pengarah SRC International - Pengerusi SRC International Ismee Ismail, Suboh Md Yassin, Che Abdullah, CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil - untuk bertanya apa yang berlaku kepada RM4 bilion itu.
Najib: Saya tidak memanggil pengarah tetapi saya beri arahan kepada pengurusan untuk buat sesuatu.
Thomas: Saya letakkan kepada kamu bahawa kamu tidak buat.
Najib: Tidak.
Thomas: Saya letakkan kepada kamu bahawa kamu tidak melakukan apa-apa untuk menyiasatnya walaupun ia melibatkan RM4 bilion wang pembayar cukai.
Najib: SRC yang sepatutnya melakukannya! Ia ada hitam dan putih.
Thomas: Saya letakkan kepada kamu RM4 bilion dibelanjakan dengan salah dan hilang.
Najib: Saya tak setuju.
Thomas: Saya letakkan kepada kamu bahawa RM4 bilion itu hilang sepenuhnya.
Najib: Tidak. Kita kena tetukan dana di Switzerland dan berapa banyak yang ada. – 11 Disember, 2019.