Mahkamah benar Najib periksa dokumen Xavier Justo
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Najib Razak memeriksa 17,000 dokumen yang diserah oleh bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan 1MDB.
Bekas perdana menteri membuat permohonan tersebut bagi perbicaraan rasuah yang dihadapinya melibatkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah yang sama.
“Dokumen yang diminta memang wujud dan diterima oleh SPRM,” kata Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika membenarkan permohonan.
“Ini akan menyangkal hujah (oleh pendakwaan) bahawa bahan (dokumen) yang diminta adalah berdasarkan kepada dengar cakap.”
Sequerah juga berkata kebenaran yang diberikan juga disokong oleh Sesyen 41 (a) Akta SPRM.
Sequerah menambah, pemeriksaan atau pengeluaran dokumen itu tidak menjejaskan kepentingan awam.
“Saya juga mendapati terdapat asas bahawa bahan yang dipohon relevan dengan tuduhan yang dihadapi pemohon dan pasukan pembelaannya,” kata Sequerah.
Justo, seorang warga Switzerland, memuat turun 90G data dari PetroSaudi termasuk 230,000 e-mel.
Najib diwakili sekumpulan peguam yang diketuai oleh Al Firdaus Shahrul Naing.
Pendakwaan yang diketuai oleh Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah pegawai penyiasat SPRM yang menjaga dokumen tersebut kini sedang bercuti. Sequerah menetapkan 7 Januari untuk pengurusan kes. – 13 Disember, 2019.