Iklan

Trump jemput saya main golf, hantar sampai ke kereta, kata Najib

Yasmin Ramlan7 years ago30th Oct 2017Berita
Najib razak parlimen nazir 02
Perdana Menteri Najib Razak menyifatkan penginapannya yang bukan di bangunan Blair House sebagai perkara yang remeh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 Oktober, 2017.
Iklan

PERDANA Menteri Najib Razak mempertahankan bahawa beliau mendapat penghormatan tinggi dari pentadbiran Amerika Syarikat (AS) susulan lawatannya ke negara itu pada September lalu.

Menyifatkan penginapannya yang bukan di bangunan Blair House sebagai perkara yang remeh, Najib bagaimanapun membuktikan bahawa beliau diberikan “penghormatan” oleh Presiden AS Donald Trump dengan dijemput bermain golf serta dihantar sehingga ke kereta.

“Tentang soalan-soalan itu terlalu remeh sebenarnya. Walaupun saya tak duduk di Blair House, saya ada jemputan main golf dengan Presiden Trump. Presiden Trump juga hantar saya sampai ke kereta.

“Jadi tak payahlah sebut-sebut benda ini. Ini bukan soal dasar. Kita nak pentingkan soal dasar. Soal dasar ini kita tetap dapat penghormatan yang tinggi daripada pentadbiran Amerika Syarikat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Permatang Pauh Dr Wan Azizah yang Najib perlu menjelaskan mengapa beliau dan delegasinya menetap di Trump International Hotel.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke membangkitkan persoalan mengapa Najib tidak diberikan layanan “tetamu negara” oleh kerajaan AS seperti mana yang diterima oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsein Loong yang berada di Washington D.C ketika ini.

Katanya, Lee kini mendapat layanan istimewa dengan menginap di bangunan Blair House yang merupakan Rumah Tetamu Rasmi Presiden Amerika Syarikat dengan segala kos lawatan tersebut ditanggung oleh kerajaan AS.

Sebelum itu, Loke yang tidak berpuas hati dengan jawapan lisan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman di Dewan Rakyat minggu lalu turut memberitahu bahawa Azalina tidak menyatakan mengenai butiran terperinci mengenai jumlah kos penginapan dan jumlah bilik yang ditempah mengikut pecahan kategori berlainan di Trump International Hotel, Washington D.C oleh delegasi perdana menteri semasa lawatan rasmi ke AS itu. – 30 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan