Iklan

Saman Putrajaya terhadap Goldman Sachs dipindah ke mahkamah tinggi

Bede Hong5 years ago16th Dec 2019Berita
Goldman sachs desk epa 180119  full
Putrajaya memfailkan empat saman untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB daripada Goldman Sachs. – Gambar EPA, 16 Disember, 2019.
Iklan

SAMAN Putrajaya untuk mendapatkan semula AS$600 juta daripada Goldman Sachs selepas bank pelaburan itu memperdaya pelabur dalam pengeluaran bon 1Malaysia Development Bhd akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes itu dari mahkamah majistret, pagi tadi.

Kes itu melibatkan AS$6.5 bilion (RM27 bilion) bon 1MDB dikeluarkan oleh Goldman Sachs International Ltd berpangkalan di UK dan Goldman Sachs (Asia) LLC di Hong Kong, akan didengar hakim yang juga mendengar kes pindaan laporan audit 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun mewakili kerajaan dan peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Goldman Sachs.

Satu lagi permohonan memindahkan saman terhadap Goldman Sachs (Singapura) ke mahkamah tinggi akan didengar pada 26 Disember.

Zaini menetapkan tarikh pendengaran baharu selepas dimaklumkan saman terhadap cawangan bank Singapura itu masih belum diserahkan.

Pada 19 Disember 2018, pendakwaan memfailkan empat saman terhadap Goldman Sachs yang dituduh tidak memberikan butiran fakta lengkap dalam penjualan bon dibuat antara anak syarikat 1MDB dan Aabar Investments PJS Limited (Aabar).

Kesalahan itu didakwa dibuat di Ibu Pejabat 1MDB di Kuala Lumpur antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Pendakwaan dibuat dibawah Seksyen 179 (c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan dan 2007 dan boleh dihukum menurut Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta sekiranya sabit kesalahan.

Pada 19 Disember tahun lepas, bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa,46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana peranannya dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

Jabatan Kehakiman AS (DoJ) menganggarkan AS$4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian daripada dana yang dijana dengan bantuan Goldman Sachs.

Baru-baru ini, Bloomberg melaporkan, Goldman Sachs yang merupakan bank utama skandal 1MDB akan mengembalikan tidak lebih daripada AS$2 bilion (RM8.4 bilion) dalam perjanjian penyelesaian dengan DoJ.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Putrajaya akan meneruskan saman terhadap bank itu walaupun terdapat laporan termeterai perjanjian penyelesaian. – 16 Disember, 2019.

Iklan
Iklan