Bawa isu Rohingya ke AS, Najib hipokrit, kata pemimpin Amanah
Iklan
KENYATAAN Perdana Menteri Najib Razak mengenai gesaannya supaya Amerika Syarikat (AS) mengambil berat isu penindasan etnik Rohingya ketika lawatannya ke negara itu pada September lalu satu hipokrasi besar, kata pemimpin Amanah.
Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata ini kerana Putrajaya sebelum ini pernah menolak berkenaan usul rasmi isu itu dibahaskan di Parlimen ketika pihak pembangkang membangkitkannya tahun lepas.
“Najib menyebut beliau menimbulkan isu pembunuhan kaum Rohingya dengan Presiden Donald Trump pada lawatan tersebut.
“Saya berpendapat ia hipokrasi besar yang memalukan kerana kerajaan Malaysia sendiri menolak usul rasmi isu Rohingya dibahas di Parlimen ketika kami pembangkang bawa tahun lepas.
“Dan kini Najib menggesa AS mengambil berat isu itu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Selain Amanah, sebelum ini, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad juga pernah menggesa Dewan Rakyat membenarkan ahli Parlimen membahaskan isu keganasan melanda etnik Rohingya di Myanmar dalam satu sidang tergempar.
Nik Nazmi berkata, ia bagi membincangkan dasar luar negara yang perlu diambil Malaysia.
“Sama juga dengan sandiwara Malaysia melalui Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menggesa Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memanggil sidang khas di NewYork untuk bahas isu Rohingya sementara kerajaan sendiri menolak perbahasan di Parlimen sendiri yang sedang bersidang pada waktu itu,” katanya. – 30 Oktober, 2017.