Polis boleh buka semula kes Altantuya, kata peguam
Iklan
POLIS boleh membuka semula siasatan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan memanggil individu yang dinamakan dalam akuan bersumpah oleh bekas komando polis Azilah Hadri, kata peguam.
Dalam kenyataan bersumpah bertarikh 17 Oktober 2019, Azilah mendakwa dia diarahkan oleh Najib Razak untuk membunuh Altantuya.
Azilah mendakwa pegawai kanan polis DSP Musa Safri yang merupakan sekutu Najib turut terlibat dalam komplot itu pembunuhan itu.
Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis itu mendakwa seorang lagi sekutu Najib, Abdul Razak Baginda, mengulangi arahan yang sama untuk membunuh Altantuya dan mengesahkan bahawa arahan itu dikeluarkan oleh Najib yang merupakan timbalan perdana menteri pada waktu itu.
Razak Baginda yang pada awalnya didakwa terlibat dalam pembunuhan itu, kemudiannya dilepaskan dari tuduhan tersebut.
“Polis perlu menngambil semula kenyataan Azilah secara rasmi,” kata peguam jenayah Rajsurian Pillai.
“Mereka boleh membuka semula siasatan kerana tiada had masa untuk pihak pendakwaaan memfailkan dakwaan kepada defendan.
“Mereka boleh menyiasat dan mendakwa hari ini atas jenayah yang berlaku beberapa tahun dulu dan mereka juga boleh membuka semula siasatan berdasarkan maklumat baharu.
“Polis boleh menyiasat nama-nama baharu yang terlibat. Sama ada mereka mahu menyiasat Najib dan mendakwanya, itu juga tidak mustahil.
“Bagaimanapun, saya tidak fikir perbicaraan semula untuk jenayah Azilah. Mereka meminta Mahkamah Persekutuan untuk meneliti semula keputusan tersebut (hukuman mati ke atas Azilah,” katanya. – 16 Disember, 2019.
MENYUSUL