Iklan

Kebal dengan sindiran, Wan Azizah berterima kasih Najib jemput 'Kak Wan'

Yasmin Ramlan7 years ago30th Oct 2017Berita
Wan azizah 240917 tmiseth 01
Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata cacian dan sindiran sudah dilalui olehnya dan keluarga hampir 20 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2017.
Iklan

KETUA Pembangkang Dr Wan Azizah hari ini berterima kasih kepada Perdana Menteri Najib Razak kerana berkongsi kisah kejayaan penjual ayam Wan Azizah Wan Salleh ketika membentangkan Bajet 2018 Jumaat lepas.

“Terima kasih Ahli Parlimen Pekan atas cerita Kak Wan kelmarin dan bersusah-payah menjemput Kak Wan Azizah Wan Salleh ke dewan yang mulia ini.

“Sindiran, cercaan, fitnah, tohmahan dan cacian sudah saya dan keluarga lalui hampir 20 tahun. Bak kata orang utara ‘dah mangli’,” katanya dalam ucapan perbahasan Bajet 2018 beliau hari ini.

Menyentuh mengenai usahawan yang bergelar Kak Wan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang menyumbang kepada kejayaan wanita tersebut.

Beliau memberitahu dewan bahawa, usul usaha tersebut datangnya daripada hasil penyelidikan dan kertas cadangan dari pasukan Universiti Sains Malaysia (USM).

Ia seterusnya diterima oleh suaminya Anwar Ibrahim pada 1987 yang ketika itu merupakan Menteri Pelajaran.

“Ia menjadi program khas dalam usaha membasmi kemiskinan rakyat. Program khas inilah diberi nama Amanah Ikhtiar Malaysia,” katanya.

Najib pada pembentangan Bajet 2018 di Parlimen, Jumaat lalu menyebut nama usahawan bernama Kak Wan dan memuji individu tersebut sehingga pada mulanya membuatkan orang ramai menyangka beliau merujuk kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Beliau kemudian memberitahu nama sebenar usahawan terbabit, Wan Azizah Wan Salleh dan menceritakan kejayaannya sebagai peminjam atau sahabat AIM, yang berjaya menjadi jutawan dengan dana pinjaman kerajaan.

Katanya, wanita itu berjaya menjadi jutawan dalam bidang ternakan dan pemprosesan ayam dengan modal permulaan RM500 daripada AIM pada 1993. – 30 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan