Iklan

Mahkamah terima rayuan SPR ketepikan injunksi Selangor

Amin Iskandar7 years ago30th Oct 2017Berita
Election commission tmihasnoor 20170523 06
Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghantar laporan persempadanan semula kepada perdana menteri tanpa melibatkan Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2017.
Iklan

MAHKAMAH Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghantar laporan persempadanan semula kepada perdana menteri tanpa melibatkan Selangor.

“Rayuan (SPR) diterima. Kami mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Umi Kalthum Abdul Majid yang mengetuai panel tiga hakim.

Bagaimanapun, panel termasuk Hakim Asmadi Asnawi dan Suraya Othman tidak memberikan sebarang alasan dalam mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi secara sebulat suara itu.

Awal hari ini panel tiga hakim itu juga menolak permohonan Selangor untuk menyingkirkan Umi Kalthum daripada mendengar rayuan dengan hujah beliau mungkin berat sebelah kerana menghakimi kes berkaitan sebelum ini.

Peguam Ambiga Sreenevasan dalam reaksi segeranya berhubung keputusan itu berkata, beliau perlu mendapatkan arahan daripada kerajaan Selangor untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, beliau berkata Selangor berhati-hati kerana keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini melibatkan Sarawak yang mengatakan mahkamah tidak boleh campur tangan bidang kuasa legislatif sebaik saja perdana menteri membentangkan laporan SPR di Parlimen.

Pada 5 Julai lalu Mahkamah Tinggi menghalang SPR untuk menghantar laporan persempadanan semulanya kepada perdana menteri tanpa melibatkan Selangor.

Hakim Azizul Azmi Adnan berkata dia hanya meluluskan permohonan injunksi Selangor kerana SPR tidak bersetuju dengan tafsiran pemohon tentang Seksyen 8 yang berkata hanya satu laporan boleh dihantar kepada perdana menteri tentang persempadanan semula.

“Laporan SPR tidak boleh mengecualikan Selangor,” katanya.

Ambiga berkata pada masa ini apa yang penting sekarang ialah mereka perlu menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman oleh Azmi pada 7 Disember.

Peguam kerajaan Amarjeet Singh dalam hujahnya berkata SPR tidak dapat melakukan inkuiri awam kedua di negeri lain di Semenanjung Malaysia disebabkan injunksi diberikan pada Selangor.

“Mereka (SPR) dihalang daripada melakukan tanggungjawab Perlembagaan mereka,” katanya.

Peguam Cyrus Das yang mewakili Selangor berkata, injunksi dipohon untuk menghalang SPR daripada menghantar laporan persempadanan semula kepada perdana menteri dan dibentangkan di Parlimen.

“Sebaik saja perdana menteri bentangkan laporan itu di Parlimen, mahkamah tidak boleh lagi beri injunksi kepada negeri,” katanya.

Kerajaan Selangor memohon injunksi pada 25 April lalu, bagi menghalang SPR daripada meneruskan aktiviti kedua persempadanan semula di Semenanjung sehingga mahkamah membuat keputusan.

Ia juga menuntut supaya mahkamah mengeluarkan arahan untuk menghalang SPR daripada menghantar laporan kepada Perdana Menteri Najib Razak yang menurut Perlembagaan Persekutuan perlu membentangkan hasil laporan itu di Dewan Rakyat untuk diluluskan.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR sebelum ini berkata tindakan SPR mengeluarkan notis kedua bagi melaksanakan aktiviti persempadanan semula melanggar Perkara 113 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu mengatakan yang perlu ada semakan berasingan untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Azmin berkata semakan kehakiman itu difailkan Selangor tahun lepas bagi menghalang notis pertama dan memberi kesan kepada semua negeri di Semenanjung yang terlibat dalam persempadanan semula itu.

Aduan negeri melibatkan dakwaan wujudnya pembahagian salah dan gerimander yang memihak kepada parti politik tertentu dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Oktober lepas, Selangor memfailkan cabaran perundangan itu bagi membatalkan notis persempadanan semula SPR mendakwa ia mencabul Perlembagaan Persekutuan dalam menetapkan sempadan baharu pilihan raya. – 30 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan