Iklan

Semakan sabitan, hukuman Azilah didengar 20 April 2020

Bede Hong5 years ago17th Dec 2019Berita
J.kuldeep kumar tmi 02
Permohonan difailkan oleh peguam J. Kuldeep Kumar di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Disember, 2019.
Iklan

PERMOHONAN Azilah Hadri untuk menyemak semula sabitan dan hukuman mati terhadapnya atas pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 20 April tahun depan, kata peguam bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu.

Peguam J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah juga mengesahkan permohonan difailkan pada minggu lalu, berserta akuan bersumpah (SD) yang mendakwa arahan membunuh Altantuya dikeluarkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

“Ya, kami mengesahkan (telah memfailkan) permohonan Aturan 137. Ia adalah permohonan semakan yang disokong oleh afidavit dan SD.

“Kami ingin mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan (yang mensabitkan Azilah dan menjatuhkan hukuman mati) dan memohon perbicaraan semula,” kata katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini.

Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 menyatakan bahawa mahkamah boleh mendengar sebarang permohonan atau mengeluarkan arahan yang perlu bagi mengelak berlaku ketidakadilan atau mencegah penyalahgunaan proses mahkamah. 

Peguam itu enggan mengulas apabila ditanya jika akuan bersumpah akan diserah kepada polis.

Dalam akuan bersumpahnya bertarikh 17 Oktober tahun ini dan ditulis di Penjara Kajang, Azilah berkata arahan membunuh Altantuya dikeluarkan sendiri oleh Najib pada 17 Oktober 2006 atas alasan wanita itu adalah “perisik asing berbahaya”.

Azilah ketika itu pengawal peribadi Najib dan diarahkan oleh DSP Musa Safri supaya berjumpa ahli Parlimen Pekan itu.

Dalam akuan bersumpahnya, Azilah juga berkata arahan sama diberikan oleh bekas pegawai khas Najib, Abdul Razak Baginda, yang mengesahkan arahan itu datang dari Najib.

Razak Baginda dituduh bersubahat dalam kes pembunuhan Altantuya, tetapi dibebaskan tanpa perlu membela diri.

Azilah dan seorang lagi anggota UTK, Sirul Azhar Umar disabitkan bersalah membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati pada 2015. Sirul melarikan diri ke Australia selepas sabitan. – 17 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.            

Iklan
Iklan