Najib mohon jadi pencelah permohonan bicara semula kes Altantuya
Iklan
BEKAS perdana menteri Najib Razak akan memfailkan permohonan menjadi pencelah dalam permohonan perbicaraan semula kes bunuh penterjemah warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Permohonan perbicaraan semula itu difailkan bekas komando Azilah Hadri, yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan kerana membunuh Altantuya, tetapi kini menamakan Najib sebagai dalang utama pembunuhan itu.
Peguam Azilah memfailkan permohonan perbicaraan semula dan permohonan membatalkan sabitan bersalah di Mahkamah Persekutuan minggu lepas, dan pengurusan kes dilakukan hari ini.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, berkata anak guamnya mempunyai kepentingan langsung dengan permohonan perbicaraan semula itu.
“Anda tak boleh buat tuduhan terhadap sesiapa sahaja tanpa orang terbabit diberikan hak untuk menjawab di mahkamah.
“Beliau sudah menafikan semua tuduhan. Tuduhan itu dibangkitkan pertama kali selepas sepuluh tahun. Dakwaan itu dibuat pada saat-saat akhir hukuman Azilah dijangka diteruskan.
“Anak guam saya menjadi sasaran…supaya beliau akan ditangkap dan dipenjara tanpa jaminan,” kata Shafee kepada wartawan di luar mahkamah hari ini.
Azilah, yang kini berada dalam “senarai banduan akhir” di Penjara Kajang, dalam akuan bersumpahnya bertarikh 17 Oktober lalu, mendakwa beliau menerima arahan terus daripada Najib pada 17 Oktober 2006 untuk membunuh Altantuya yang didakwa “perisik asing berbahaya”. Najib ketika itu adalah timbalan perdana menteri.
Azilah juga berkata sekutu rapat Najib, Abdul Razak Baginda, yang ketika itu adalah pegawai khas perdana menteri, mengulangi arahan untuk membunuh Altantuya dan mengesahkan bahawa arahan itu datang daripada Najib.
Razak yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu kemudiannya dibebaskan, tetapi Azilah dan seorang lagi komando Sirul Azhar Umar disabit bersalah membunuh Altantuya oleh mahkamah tinggi pada 2009.
Mereka kemudiannya dijatuhkan hukuman mati pada 2015. Sirul melarikan diri ke Australia dan sedang ditahan di pusat tahanan imigresen negara itu. – 17 Disember, 2019.