Pakatan persoal kenapa RoS lengahkan pendaftaran Harapan
Iklan
PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) hari ini mempersoalkan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) melengahkan pendaftaran gabungan parti pembangkang itu sehingga menyebabkan mereka menanti hampir 100 hari.
Alasan yang diberikan RoS adalah kerana penelitian permohonan itu daripada aspek keselamatan dan kepentingan awam tidak boleh diterima pakai, kata Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin pada sidang media hari ini.
Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan lisan 23 Oktober lalu mengatakan sudah menjadi tanggungjawab RoS meneliti setiap permohonan parti politik bagi memelihara keselamatan dan kepentingan awam.
“Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bertanggungjawab untuk meneliti setiap permohonan pendaftaran parti politik dengan terperinci bagi memastikan aspek keselamatan dan kepentingan awam adalah terpelihara.
Sim yang merupakan ahli Parlimen Bayan Baru dalam pertanyaan lisan itu meminta menteri dalam negeri menyatakan sebab keputusan kelulusan pendaftaran dan logo PH dilambatkan serta syarat dan kriteria tambahan yang diperlukan oleh RoS.
Kementerian bagaimanapun mengatakan yang tidak wujud syarat dan kriteria tambahan diperlukan dan permohonan itu masih dalam pertimbangan jabatan.
“JPPM tidak mengenakan sebarang kriteria atau syarat tambahan ke atas permohonan tersebut dan permohonan tersebut adalah masih dalam pertimbangan jabatan,” kata kementerian itu lagi.
“Saya tanya soalan ini kerana PH dah buat pendaftaran pada 24 Julai lalu. Dah genap tiga bulan, hampir 100 hari telah berlalu tapi belum dengar dari RoS.
“Macam mana kita gugat keselamatan negara dan ketenteraman awam? Kita ikut undang-undang Perlembagaan. Tak ada gugat keselamatan negara,” kata Sim pada sidang media di Parlimen hari ini
Ahli Parlimen DAP Nga Kor Ming dan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Amanah) turut senada dengan Sim dan mempertikaikan mengenai tindakan “double standard” diamalkan RoS.
Mereka memberikan misalan tempoh pendaftaran parti komponen gabungan Barisan Nasional (BN), Makkal Sakti Malaysia yang hanya mengambil masa tujuh hari untuk diluluskan berbanding PH.
“Hak terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan Kebebasan Asasi. Hak asasi kami, kami nak tubuhkan persatuan. Dulu, parti Makkal Sakti buat dapat tujuh hari saja. (Tapi) kami sabar menanti sampai 100 hari. Kami telah menunaikan semua yang diperlukan di dalam akta itu,” kata Nga.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin pula berkata proses tersebut perlulah dilakukan dengan telus dan adil. – 30 Oktober, 2017.