GST bukan faktor tunggal naik turun harga barang, kata kementerian
Iklan
FAKTOR naik atau turun harga barang tidak semestinya disebabkan pelaksanaan GST kerana terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhinya, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
“Peningkatan atau penurunan harga barangan adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kadar tukaran wang, kekangan pengeluaran seperti upah buruh, faktor cuaca, kos bahan bakar dan tidak semestinya disebabkan oleh pelaksanaan GST.
“Berdasarkan data harga yang dipantau oleh KPDNKK, peratus barangan yang mengalami penurunan harga ialah di antara 16% hingga 26% daripada 1,396 barangan bagi tempoh pelaksanaan GST (April 2015) sehingga kini,” menurut jawapan lisan kementerian itu pada 23 Oktober lalu.
Kenyataan itu dikeluarkan kementerian sebagai menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ahmad Baihaki Atiqullah yang meminta KPDNKK menyatakan peratusan barang-barang yang mengalami penurunan harga sebagaimana pernah dijanjikan oleh Perdana Menteri Najib Razak.
Cukai kontroversi itu dilaksanakan pada 1 April 2015 dengan kadar 6% yang menggantikan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Ia mendapat tentangan banyak pihak kerana menyebabkan harga barang meningkat terutama ketika rakyat sedang berdepan dengan kos sara hidup, meskipun Timbalan Menteri Kewangan ketika itu Ahmad Maslan cuba meyakinkan rakyat bahawa ia dapat menurunkan harga barang. – 30 Oktober, 2017.