Akuan berkanun Azilah boleh jelaskan kenapa PI Bala lari, kata peguam
Iklan
AKUAN berkanun bekas komando Azilah Hadri yang disabitkan membunuh Altantuya Shaariibuu, boleh membantu menjelaskan kenapa penyiasat persendirian P Balasubramaniam dan keluarganya terpaksa melarikan diri ke India pada 2008, kata peguam.
Azilah dalam akuan berkanun bertarikh 17 Oktober lalu menamakan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai dalang di sebalik pembunuhan jurubahasa Mongolia itu pada 2006. Najib ketika itu merupakan timbalan perdana menteri.
“(Akuan bersumpah ini) memberi manfaat kepada kita, ia memberikan motif yang jelas dan menjelaskan alasan di sebalik Najib yang ingin Bala senyap,” kata peguam Americk Sidhu kepada The Malaysian Insight.
Beliau mewakili keluarga Bala dalam saman sivil terhadap Najib, isterinya Rosmah Mansor dan lain-lain.
Keluarga itu dua kali cuba menyaman Najib kerana menyebabkan trauma dan kerugian akibat terpaksa berpindah ke India dari 2008 hingga 2013.
Mendiang diupah oleh pembantu Najib, Abdul Razak Baginda untuk mengekori wanita Mongolia berkenaan sebelum wanita itu dilaporkan hilang.
Altantuya kemudian ditemui dibunuh, dan Azilah serta rakan subahatnya, Sirul Azhar Umar akhirnya disabitkan kesalahan membunuh wanita itu dalam kejadian antara malam 19 Oktober dan awal pagi 20 Oktober, 2006.
Razak didakwa turut terlibat dalam konspirasi pembunuhan tersebut tetapi kemudian dibebaskan.
Bala menjadi saksi utama dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya. Beliau juga membuat akuan berkanun bertarikh 1 Julai, 2008 di mana beliau mendakwa Najib dan Razak mempunyai hubungan rapat dengan Altantuya.
Beliau berkata Altantuya memberitahu Razak berkahwin dengannya di Korea dan membeli sebuah rumah untuknya. Wanita itu juga didakwa meminta wang dari Razak untuk membayar rawatan perubatan ibunya.
Bala juga turut menyatakan dalam akuannya bahawa Razak memberitahu bagaimana Najib memperkenalkan Altantuya kepadanya (Razak) di Singapura, dan Najib juga dikatakan melakukan hubungan seks dengan wanita tersebut.
Najib secara konsisten menafikan beliau pernah menemui Altantuya.
Bagaimanapun, Bala menarik balik akuan berkanun pertamanya dengan mendedahkan akuan berkanun kedua, kurang dari 24 jam selepas memberikan sidang akhbar bagi akuan sumpah pertama. Dalam akuan kedua, beliau membersihkan nama Najib dari mana-mana tuduhan yang dibuat.
Bala kemudian berpindah bersama keluarganya ke Chennai di mana dia bermastautin selama lima tahun selepas membuat akuan berkanun tersebut.
Apabila keluarganya pulang ke Malaysia pada awal 2013, Bala membuat satu lagi penarikan balik dakwaan dengan membuat satu sidang akhbar pada bulan Februari di mana dia bersumpah dengan sebuah kitab suci Hindu yang semua perkara dalam akuan berkanunnya yang pertama adalah benar.
Bala bagaimanapun meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mac 2013, beberapa minggu selepas pulang ke Malaysia.
Pada 2014, balu kepada Bala, Santamil Selvi dan tiga anaknya memfailkan tuntutan terhadap sembilan defendan di atas kerugian dan trauma akibat terpaksa melarikan diri dari Malaysia. Dua daripada defendan ialah Najib dan Rosmah. – 18 Disember, 2019.