LANGSUNG: Najib tidak ingat sama ada beliau arahkan 2 akaun AmBank ditutup
Iklan
BEKAS perdana menteri Najib Razak akan disoal balas hari ini oleh timbalan pendakwa raya ad hoc V. Sithambaram pada hari kelima peringkat pembelaan dalam perbicaraan SRC International.
Sithambaram, yang merupakan peguam jenayah berpengalaman, akan menyemak keterangan saksi Najib 243 muka surat dan menyoal ahli Parlimen Pekan berhubung tujuh pendakwaan terhadapnya iaitu salah guna kuasa, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan tiga tuduhan pecah amanah.
Sithambaram meminta penangguhan pada perbicaraan Rabu lalu kerana perlukan banyak masa untuk menyemak keterangan Najib.
Pertuduhan ke atas Najib dalam perbicaraan SRC International adalah berkaitan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada entiti pada 2012, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta pada 2014 dan 2015.
Rabu lalu, bekas pengerusi Barisan Nasional dan presiden Umno itu bertikam lidah dengan Peguam Negara Tommy Thomas ketika pemeriksaan balas.
Thomas mencadangkan Najib tidak mengarahkan menteri kewangan kedua ketika itu Ahmad Husni Hanadzlah untuk ke Switzerland, bagi menghalang apa yang cuba disembunyikan daripada terdedah.
Najib menafikannya dan juga beliau hanya melakukan sedikit tindakan untuk mengetahui apa yang berlaku kepada pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion.
Bekas menteri kewangan itu memberi keterangan bahawa beliau terlibat dalam hala tuju dasar SRC International dan tidak mengetahui sepenuhnya tentang operasinya.
Tambahnya, beliau tidak ada kuasa untuk mempengaruhi lembaga pengarah dan pengurusan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), yang mengeluarkan RM4 bilion dalam bentuk pinjaman.
Pendengaran bagi pembelaan dijadualkan sehingga esok, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
The Malaysian Insight membawakan secara langsung perbicaraan hari ini:
4.51pm: Perbicaraan disambung esok.
4.36pm: Sithambaram bertanya kepada Najib tentang barang kes (P501, D534 and D535). Peguam itu bertanya jika Najib ada mengaku tandatangan dokumen-dokumen berkenaan semasa pertama kali SPRM tunjuk kepadanya.
Sithambaram: Dalam tambahan kenyataan saksi kamu, kamu mengesahkan melihat semua dokumen dan tandatanganinya. Jadi, semasa SPRM ambil ambil kenyataan, adakah kamu sahkan bahawa kamu tandatanganinya?
Najib: Saya sahkan kerana pada masa itu nampak macam tandatangan saya.
Sithambaram: Jadi sekarang, lama-kelamaan nampak macam bukan tandatangan kamu, bukan?
Sithambaram kemudian terus menyoal Najib mengenai Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR).
4.19pm: Sithambaram menyoal tentang dokumen pinjaman RM4 bilion dari KWAP.
3.38pm: Sithambaram bertanya Najib sekiranya beliau tahu RM40 juta diambil dari SRC International.
Sithambaram: Kamu orang berjawatan tinggi dalam SRC International. Itu sebabnya saya tanya kamu.
Najib: Saya tidak terlibat dalam perkara operasi. Saya sibuk mentadbir negara. Boleh kamu terima jawapan itu?
Sithambaram: Saya tidak berhasrat untuk menjawab soalan itu. Jawapan saya tidak akan menjadi perkara yang memuji.
3.34pm: Sithambaram: Datuk Seri, dari masa itu, RM27 juta dan RM5 juta masuk ke akaun kamu, kamu cukup berpuas hati bahawa kamu telah menggunakannya.
Najib: Saya gunakannya tapi saya tidak tahu sumber dana itu.
Sithambaram: Kamu menyatakan kamu tidak tahu sumber dana adalah tidak benar.
Najib: Saya tidak setuju.
3.23pm: Sithambaram bertanya Najib mengenai RM40 juta yang dipindahkan dari SRC International.
Sithambaram: Pada 24 Disember, 2014, RM40 juta dipindahkan dari SRC International menerusi Gandingan Mentari Sdn Bhd dipindahkan ke Ihsan Perdana Sdn Bhd.
Daripada RM40 juta dalam Ihsan Perdana, RM27 juta dipindahkan ke akaun ‘880’ kamu dan RM5 juta dipindahkan ke akaun ‘906’ kamu pada 26 Disember, 2014.
Adakah kamu tahu tentang transaksi ini?
Najib: Saya dengar mengenainya ketika ia dibacakan di mahkamah.
3.15pm: Sithambaran bertanya Najib mengenai surat yang dihantar kepada AmIslamic pada 24 Disember, 2014.
Sithambaram: Adakah ini tandatangan kamu pada surat ini?
Najib: Nampak sepertinya.
Sithambaram: Apabila surat ini ditunjukkan kepada kamu oleh SPRM, kamu setuju bahawa kamu yang menandatanganinya. Selarang kamu mengatakan ia surat yang dipalsukan.
Najib: Ya tapi saya tidak tahu kepentingannya.
3.05pm: Sithambaram bertanya Najib mengenai akaunnya yang lain ‘694’ dan ‘481’.
Sithambaram bertanya Najib sekiranya beliau mengarahkan bank tutup kedua-dua akaun berkenaan.
Najib: Saya tidak ingat.
Sithambaram: Sekiranya kamu tidak ingat ada mengarahkan bank tutup akaun, mereka tiada kuasa untuk berbuat demikian.
Dato’ Sri, surat itu ditulis sendiri oleh kamu untuk menutup akaun. Bank hanya boleh tutup akaun di bawah arahan kamu.
Najib: Ya. Setuju.
Sithambaram: Adakah tandatangan kamu pada surat berkenaan?
Najib: Nampak macam tandatangan saya.
Sithambaram: Apabila SPRM tunjukkan dokumen ini kepada kamu, kamu akui ia memang tandatangan kamu.
Najib: Saya tidak ditunjukkan dokumen asal.
Sithambaram: Jadi, kamu mengatakan kamu tidak boleh sahkan sama ada sebarang dokumen yang ada tandatangan kamu adalah salinan?
Najib: Secara umumnya.
2.52pm: Perbicaraan bersambung.
Sithambaram meneruskan soal balas.
12.58pm: Mahkamah berhenti rehat.
12.56pm: Merujuk kepada transaksi dalam akaunnya, Najib berkata pihak bank tidak memaklumkannya.
Sithambaram memberitahu Najib beliau telah memberi mandat kepada Nik Faisal untuk menguruskan akaunnya.
Najib berkata beliau tidak tahu mengenai transaksi berkenaan.
Sithambaram: Jutaan ringgit hilang dari akaun kamu, bagaimana kamu tidak tahu tentangnya?
Jutaan ringgit dibelanjakan.
Najib: Saya tidak tahu mengenainya.
12.43pm: Sithambaram sedang meneliti transaksi bank melibatkan tiga akaun AmBank (880, 898, 906).
12.40pm: Sithambaram meneliti beberapa transaksi dalam akaun AmBank Najib.
Beliau tunjukkan penyata bank ‘880’ kepada Najib.
Sithambaram mengesahkan dengan Najib sama ada penyata itu adalah milik akaunnya. Najib mengesahkannya.
Sithambaram berkata pada 8 Julai, 2014, terdapat arahan pindahan dari Nik Faisal untuk debitkan RM20 juta dari akaun ‘880’.
Sithambaram berkata, dari RM20 juta, RM10 juta dipindahkan ke akaun ‘906’ pada tarikh yang sama.
Sithambaram tunjukkan Najib penyata bank ‘906’. Najib sahkan ia miliknya.
Sithambaram berkata RM10 juta lagi dipindahkan ke akaun Najib ‘898’ pada 8 Julai, 2014.
Sithambaram kemudian berkata, selepas RM10 juta dikreditkan ke akaun itu, Najib menggunakan dana berkenaan untuk keluarkan pelbagai cek. Najib bersetuju.
Sithambaram: Jadi, tanpa RM10 juta, kamu tidak boleh keluarkan cek?
Najib: Jika saya keluarkan, cek itu pasti akan tendang.
12.31pm: Najib berkata pakar boleh mengesahkan tandatangannya.
Sithambaram: Hanya sekarang kamu tak setuju itu adalah tandatangan kamu?
Najib: Ya. Ini untuk mengesahkan sekiranya ia dipalsukan.
Sithambaram: Penandatangan tidak dapat sahkan tetapi hanya pakar boleh, betul?
Najib: Ya.
Sithambaram: Saya letakkan kepada kamu bahawa hanya kamu yang boleh sahkan tandatangan ini.
Najib: Tidak. Tidak benar.
12.11pm: Perbicaraan bersambung.
11.53am: Mahkamah berhenti rehat 10 minit.
11.45am: Najib tetap mengatakan dokumen berkenaan dipalsukan, yang mana Sithambaram mahu beliau tunjukkan dokumen yang dipalsukan.
Sithambaram: Dokumen mana yang dipalsukan?
Najib: Kamu perlu tunjukkan dokumen kepada saya.
Sithambaram: Maksud kamu semua minit pemegang saham? Jadi, kamu mengatakan semua dokumen ini dipalsukan?
Najib: Kami mahu pakar mengesahkannya.
Sithambaram: Mengapa perlu pakar mengesahkannya? Adakah kamu tidak boleh sahkan tandatangan kami sendiri?
Najib mengulangi kenyataan ia perlu disahkan oleh pakar.
Selepas diam seketika, Sithambaram meneruskan soalan seterusnya.
11.33am: Najib mengesahkan buku cek dan penyata bank dari AmBanknya tidak diposkan tetapi dikutip oleh bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.
11.25am: Peguam bela Harvinderjit Singh mempersoalkan soalan yang diajukan Sithambaram kepada Najib.
Sithambaram berkata Harvinderjit suka memberi tanggapan setiap kali dia berada di mahkamah.
“Kamu datang lewat, jadi kamu mahu buat tanggapan,” kata Sithambaram.
Sithambaram berkata beliau telah bertanya soalan kepada Najib dengan sopan.
Sithambaram juga menasihatkan Harvinderjit untuk datang awal ke mahkamah.
“Lain kali, datang awal.”
11.20am: Sithambaran menunjukkan Najib beberapa dokumen berkaitan akaun AmBanknya dan mengesahkan tandatangan pada dokumen berkenaan.
11.12am: Sithambaram: Berdasarkan ini, apabila salinan dokumen ditunjukkan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), kamu mengesahkan kepada mereka bahawa dokumen berkenaan ditandatangani oleh kamu?
Najib: Saya mempunyai keraguan.
Sithambaram: Kamu simpan sahaja keraguan itu?
Najib: Ketika itu saya tidak pasti.
Sitham: Adakah kamu meminta salinan asal ditunjukkan?
Najib: Tidak.
11.09am: Sithambaram: Kamu kini di mahkamah membantah dokumen atas pelbagai asas?
Najib: Ya.
Sithambaram: Kamu katakan dokumen asal tida dikeluarkan, yang mana kamu tahu ketika keterangan diambil.
Najib: Saya tahu ia bukan yang asal tetapi tidak tahu kepentingannya.
11.01am: Najib berkata beliau hanya meragui dokumen itu dipalsukan apabila saksi pendakwaan diperiksa balas.
10.59am: Merujuk kepada dokumen yang dipertikaikan Najib, Sithambaram berkata, hanya sekarang ia dicabar kerana dipalsukan.
Sithambaram: Hanya sekarang ia dicabar. Sebelum ini peguam kamu hanya mengatakan dokumen itu bukan yang asal, penyedianya (Najib) tidak dipanggil dan tiada bukti pendakwaan. Langsung tiada mengenai pemalsuan.
Najib: Saya perlu bincang dengan peguam saya.
10.55am: Sithambaram: Dato Sri, berdepan dengan tuduhan yang serius, seseorang dalam kedudukan kamu, adalah kamu menghantar dokumen berkenaan kepada pakar tulisan untuk mengesahkan tandatangan kamu ketika itu?
Najib: Pada masa itu, tidak.
10.45am: Sithambaram: Saya fikir percubaan untuk hubungi pakar Australia adalah untuk meningkatkan bukti atau pemalsuan yang tidak benar.
Najib: Tidak.
10.43am: Sithambaram: Keraguan mengenai tandatangan dipalsukan hanya timbul di mahkamah?
Najib: Ya. Kerana saya tidak ditunjukkan dokumen asal.
Sithambaram: Jadi, kamu setuju dengan saya bahawa kamu ditunjukkan salinan apabila keterangan itu diambil. Ketika itu kamu tak boleh kenal pasti?
Najib: Ketika itu, tandatangan berkenaan seolah-olah kepunyaan saya.
10.40am: Sithambaram: Saya dapati ia sangat meragukan. Kamu tak boleh lihat yang ia dipalsukan tetapi kamu mahu seseorang tunjukkan kepada kamu. Sangat meragukan.
10.38am: Sithambaram: Apabila kamu dapati tandatangan kamu dipalsukan, adakah kamu akan buat laporan polis?
Najib: Saya hanya tahu tandatangan saya dipalsukan apabila dokumen itu ditunjukkan kepada saya di mahkamah.
Sithambaram: Malangnya itu bukan soalan saya. Sekiranya kamu dapati tandatangan kamu dipalsukan, adakah kamu akan buat laporan polis?
Najib: Itu sebabnya kita panggil pakar dari Australia untuk mengesahkannya. Jadi, apabila ia disahkan, baru kita akan buat laporan polis.
Sithambaram: Jadi kamu masih tidak pasti sama ada tandatangan kamu dipalsukan?
Najib: Saya hanya mahukan kepastian.
10.32am: Sithambaram: Jadi, kamu terima tanggungjawab sepenuhnya terhadap jawapan yang diberi dalam keterangan?
Najib: Saya telah tandatanganinya.
Sithambaram: Saya tahu kamu telah tandatangan tetapi adakah kamu terima tanggungjawab untuk keterangan itu?
Selepas diam seketika, Najib bersetuju.
10.30am: Sithambaram: Adakah semua jawapan dalam keterangan itu kamu punya atau diberikan input oleh peguam?
Najib: Semua jawapan saya berikan tetapi saya bincangkannya dengan peguam saya.
10.29am: Sithambaram: Berapa lama yang diperlukan untuk sediakan keterangan?
Najib: Ia mengambil masa yang lama kerana aya ada kes lain seperti 1MDB. Jadi, kami lakukannya ketika masa selang dan kadangkala pada waktu malam. Jadi secara kasarnya dalam tiga minggu.
10.25am: Sithambaram: Berapa ramai peguam yang ambil keterangan kamu?
Najib: Tiga hingga empat orang.
Sithambaram: Boleh kamu namakan mereka?
Najib: Harvinderjit, Farhan, Wan Aizuddin dan Tan Sri Shafee.
10.21am: Sithambaram bertanya Najib sama ada beliau ditunjukkan semua dokumen berkaitan kes berkenaan.
Najib berkata tidak semua dokumen ditunjukkan kepadanya namun peguam merujuk kepada kandungan dokumen berkenaan.
10.19am: Sithambaram bertanya Najib bagaimana keterangan saksinya disediakan.
Najib berkata peguamnya bertanya soalan dan beliau menjawabnya.
10.12am: Najib mengambil tempat.
Sithambaram memberitahunya soalan akan diajukan dalam bahasa Inggeris.
10.05am: Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah memohon rehat selama lima minit sebelum perbicaraan kes SRC International diteruskan.
Permohonan dibenarkan.
9.56am: Peguam perbicaraan IPIC memohon tarikh perbicaraan dikosogkan bagi memberi keutamaan kepada kes SRC International.
9.55am: Perbicaraan bermula. – 18 Disember, 2019.