Najib tidak lapor dakwaan tandatangan dipalsukan
Iklan
NAJIB Razak memberi keterangan di mahkamah tinggi hari ini beliau tidak membuat laporan polis berhubung tandatangannya dipalsukan pada dokumen berkaitan SRC International kerana mahukan pengesahan daripada pakar tulisan tangan.
Ketika disoal balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bekas perdana menteri itu tetap mengatakan dokumen berkenaan, termasuk yang berkaitan dengan akaun AmBank miliknya, “dimanipulasi dan dipalsukan”.
Ketika disoal timbalan pendakwa raya ad hoc V. Sithambaram berhubung mengapa tiada laporan polis dibuat berhubung tandatangan palsu, Najib meberitahu mahkamah beliau hanya mengesyaki dakwaan pemalsuan itu ketika perbicaraan SRC International.
Kedua-dua mereka saling berbalas hujah berhubung keterangan Najib bahawa tandatangannya dipalsukan, yang mana permohonan telah dibuat oleh pihak pembelaan untuk memanggil pakar tulisan tangan dari Australia.
Dokumen tersebut termasuk resolusi pekeliling pengarah dan urus niaga perbankan Kementerian Kewangan (KKM).
Sithambaram: Apabila kamu mendapati tandatangan kamu dipalsukan adakah kamu buat laporan polis?
Najib: Saya hanya tahu kemungkinan (pemalsuan) ketika prosiding perbicaraan kerana saya melihat dokumen yang mana tandatangan itu berkemungkinan dipalsukan.
Sithambaram: Itu bukan soalan saya. Adakah kamu buat laporan polis?
Najib: Saya hanya mahu pastikan.
Sithambaram: Adakah kamu pasti atau tidak ianya dipalsukan, setakat kamu beri keterangan hari ini?
Najib: Saya agak yakin. Itu sebabnya saya meminta pakar untuk memeriksanya.
Sithambaram: Saya ingin mempercayai bahawa saya seorang yang rasional, jadi saya merasa sangat ingin tahu bahawa apabila kamu melihat dokumen yang mengandungi tandatangan kamu, kamu memerlukan orang lain untuk beritahu sama ada ia salah atau tidak.
Najib: Saya tidak setuju.
Sithambaram: Adakah kamu bersetuju, sebagai perdana menteri atau menteri kewangan atau wakil MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan), tandatangan tersebut adalah penting kerana kamu menandatangninya atas kapasiti berikut?
Najib: Sekiranya saya menandatanganinya, ia pastinya penting.
Sithambaram: Bagaimanapun, keraguan kamu sama ada kamu menandatangani dokumen tersebut hanya timbul semasa proses perbicaraan ini, dan bukan sebelum ini.
Najib: Itu kerana saya tidak ditunjukkan dokumen asal.
Sithambaram kemudiannya mencadangkan bahawa dakwaan Najib tandatangannya dipalsukan adalah “perasan” dan hanya timbul semasa peringkat pembelaan perbicaraan, suatu dakwaan yang dinafikan ahli Parlimen Pekan itu.
Sithambaram: Saya tidak akan melebih-lebih mengatakan bahawa tandatangan kamu adalah asas pentadbiran negara ini.
Najib: Saya menganggapnya begitu.
Sithambaram: Undang-undang tidak boleh menganggap, ia mesti berasal dari anda, ya atau tidak.
Najib: Jadi, ya.
Sithambaram: Kamu setuju dengan saya, saya letakkan kepada kamu bahawa kamu tidak akan menandatangani dokumen kecuali ia adalah dokumen yang tulen.
Najib: Sekiranya ia diusulkan kepada saya, biasanya saya akan tandatangan.
Pendakwa juga menegaskan bahawa tuntutan Najib terhadap AmBank berlaku selepas lebih empat tahun, bersama dengan tuntutan pemalsuannya, yang memerlukan pengesahan pakar tulisan tangan untuk disahkan.
Sithambaram: Bagaimana seorang ahli boleh datang dan mengesahkan tandatangan kamu sendiri? Seorang pakar akan datang dan mengatakan apa sahaja yang kamu mahukan.
Walaupun kamu tidak ditunjukkan dokumen asal, kamu boleh mengatakan ia adalah tandatangan kamu atau tidak. Apabila kamu ditunjukkan dokumen di SPRM (ketika Najib disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 2018), adakah kamu mengesahkan sama ada ia tandatangan kamu atau tidak.
Najib: Saya fikir ia tandatangan saya (ketika itu).
Sithambaram: Sekarang bukan, atau kamu tidak boleh sahkan? Saya tidak tahu apa yang kamu katakan.
Najib: Saya tidak pasti (sama ada ia tandatangan saya).
Sithambaram kemudian bertanya Najib berhubung mandat yang diberikan kepada bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil yang masih tidak dapat dikesan hingga kini, untuk menguruskan akaun banknya.
Fokus soal balas itu beralih kepada transaksi RM32 juta melibatkan akaun Najib. Pihak pendakwaan bertanya Najib sama ada beliau secara peribadii bertanggungjawab ke atas transaksi perbankannya.
Najib: Saya telah menyerahkan (tanggungjawab kepada orang lain). Jika mereka melakukan sesuatu yang salah, bagaimanakah saya boleh bertanggungjawab?
Sithambaram: Tidak, tidak, adalah kamu secara peribadi bertanggunjawab atas akaun bank kamu? Saya ingin tahu sama ada kamu secara peribadi bertanggungjawab?
Najib: Saya tidak boleh bertanggungjawab sekiranya sesuatu tidak kena.
Sithambaram: Saya mahu dengar dengan kuat dan jelas, ‘Saya tidak bertanggungjawab atas transaksi perbankan saya’.
Najib: Mereka melakukan sesuatu yang tidak betul, maka saya tidak boleh bertanggungjawab. Ada perkara yang mereka lakukan yang saya tidak tahu.
Sithambaram: Kamu bersetuju apabila kamu memberi mandat, kamu bersetuju ...
Najib: Saya tidak boleh bertanggungjawab jika dia melakukan sesuatu yang salah.
Sithambaram: Saya letakkan kepada anda bahawa mustahil untuk dokumen palsu digunakan untuk memindahkan dana ini tanpa pengetahuan anda.
Najib: Saya tak setuju.
Sithambaram: Jutaan ringgit dibelanjakan dari akaun kamu dan kamu belanjakan jutaan ringgit. Bagaimana kamu tidak tahu?
Najib: Saya mengandaikan bahawa terdapat wang dari derma dan saya tidak menyedari pemalsuan itu.
Sithambaram: Nah, kita katakan itu cubaan untuk sembunyikannya.
Najib: Saya tidak setuju.
Pertuduhan ke atas Najib dalam perbicaraan SRC International adalah berkaitan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada entiti pada 2012, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta pada 2014 dan 2015.
Najib, 66, diwakili pasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah. Pihak pendakwaan diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan.– 18 Disember, 2019.