Iklan

Saya sibuk tadbir negara, tak tahu operasi SRC International, kata Najib

Bede HongRavin Palanisamy5 years ago18th Dec 2019Berita
Najib razak 181219 tmiseth 08
Najib berdepan pertuduhan berkaitan pinjaman RM4 bilion dikeluarkan SRC International, yang mana RM42 juta masuk ke dalam akaun peribadinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seh Akmal, 18 Disember, 2019.
Iklan

NAJIB Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini beliau tidak terlibat dalam operasi SRC International kerana sibuk mentadbir kerajaan persekutuan ketika itu.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika menjawab soalan Pendakwa Raya Khas V Sithambaram mengenai transaksi RM40 juta daripada SRC International kepada rakan pengurusan tanggungjawab sosial korporatnya, Ihsan Perdana Sdn Bhd pada 2014.

Mahkamah dimaklumkan pada 24 Disember 2014, RM40 juta daripada SRC International dipindahkan kepada Ihsan Perdana, melalui anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Daripada RM40 juta yang masuk ke dalam Ihsan Perdana, RM27 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib di Ambank yang berakhir dengan nombor “880” dan RM5 juta pula dipindahkan ke sebuah lagi akaun Najib berakhir dengan nombor “906” pada 26 Disember 2014.

Sithabaram mencadangkan tiada seorang pun eksekutif syarikat itu yang mempersoalkan atau membantah transaksi itu.

Sithambaram: Saya juga mencadangkan kepada anda yang Gandingan Mentari tidak membantah pemindahan RM40 juta daripada Gandingan Mentari ke Ihsan Perdana.

Najib: Saya tak tahu. Terpulang kepada pengurusan. Tanya mereka.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda yang mereka tak cabar pemindahan itu. Anda orang besar di SRC. Sebab itu saya tanya anda.

Najib: Saya tak terlibat dalam operasi, okay. Saya sibuk jaga seluruh negara. Awak terima itu?

Sithambaram: Saya tak mahu respon, kerana ia akan jadi jawapan yang tak berapa baik. Jawapan saya tak akan jadi pujian.

Saya cadangkan kepada anda yang keseluruhan transaksi dan pemulangan wang tersebut adalah kerana mengambil wang pendahuluan daripada kedua-dua akaun ini.

Najib: Saya tak setuju.

Sebelum itu Sithambaram bertanya: “Datuk Seri, sejak itu, RM27 juta dan RM5 juta masuk ke dalam akaun anda, dan anda agak yakin sampai anda guna.”

Najib membalas: “Saya guna tetapi saya tidak tahu sumber wang itu.”

Najib berdepan pertuduhan berkaitan pinjaman RM4 bilion dikeluarkan SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana RM42 juta masuk ke dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Pemimpin berusia 66 tahun itu menegaskan beliau menganggap RM42 juta yang dibelanjakannya adalah derma keluarga diraja Arab Saudi.

Najib diwakili sekumpulan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Pihak pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan disambung esok. – 18 Disember, 2019.

Iklan
Iklan