Lokasi KR1M tak strategik, kos tinggi punca penutupan, kata menteri
Iklan
KOS tinggi disebabkan lokasi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di kawasan luar bandar antara punca utama penutupan, kata menteri.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Hamzah Zainuddin, antara sebab lain adalah saiz kedai yang besar sehingga menyebabkan pemilik kedai tidak mampu menampung kos operasi kedai.
“Bintulu (ahli Parlimen Bintulu) mengaku bahawa KR1M pertama itu gagal. Gagalnya adalah kerana dari perbincangan yang kita lakukan bersama dengan mereka.
“Pertama mereka katakan lokasi KR1M yang tak strategik di luar bandar jauh ke pedalaman, kosnya terlalu tinggi. Ini yang menyebabkan mereka agak tertekan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing yang bertanya mengenai punca penutupan KR1M.
Tiong yang menyifatkan KR1M satu kegagalan berkata kerajaan perlu mengenalpasti punca penutupan tersebut dan tidak mengambil jalan mudah dengan membuka KR1M 2.0.
“Apa punca dia (kegagalan)? Ini kita mesti mahu lihat. Jangan syok sendiri. Satu tutup, bukak (lagi) satu,” katanya.
Hamzah berkata, pembukaan KR1M 2.0 itu bertujuan untuk penambahbaikan untuk membantu rakyat.
Katanya, penambahbaikan itu akan dilakukan dengan menambah syarikat yang akan mengendalikan KR1M 2.0 itu, seperti syarikat-syarikat multinasional.
“Strategi kita adalah untuk bincangkan perkara ini bukan hanya dengan satu atau dua operator tetapi yang kita lakukan untuk bergabung dengan blue ocean strategy bersama dengan banyak syarikat-syarikat besar seperti SME, multinational companies.
“Semua ini kita lakukan untuk membantu mengurangkan kos barang-barang yang dipasarkan dalam negara kita,” katanya.
Sebelum ini, Hamzah pernah berkata nasib pekerja KR1M bergantung kepada syarikat pengendalinya, Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd (Mydin).
Beliau yang menunding jari terhadap Mydin berkata, kebajikan pekerja KR1M bukan tanggungjawab Putrajaya tetapi Mydin.
Kontrak Mydin sebagai pengendali KR1M digesa ditarik balik oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Julai lepas kerana didapati menjual produk pada harga jauh lebih tinggi berbanding pasaran.
“Ini adalah sesuatu yang kita ambil untuk bantu rakyat. Sebab itu kita nak bagi penambahbaikan. Bukan kita tutup yang satu dan buka benda yang sama.
“Kita cuma menyesuaikan bisnes model yang dahulunya kita berikan (kepada) satu syarikat, tapi kali ni kita bincang dengan banyak syarikat,” tambah Hamzah. – 31 Oktober, 2017.