Dzulkifli patut dikenakan tindakan tatatertib, kata pemimpin DAP
Iklan
PUTRAJAYA perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad susukan dakwaan skandalnya bersama seorang wanita yang sudah berkahwin, kata pemimpin DAP.
Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini bertanya adakah ketua setiausaha negara (KSN) sepatutnya memainkan peranan dalam isu itu, atau kerajaan berkompromi atas perbuatan tersebut.
“Adakah KSN akan siasat kes ini? Kenapa (saya soal) tuan speaker? Kerana kita (negara) ada peraturan tatatertib. Saya setuju.
“Kalau mereka buat satu perkara yang di luar kebiasaan walaupun melanggar peraturan, tindakan akan diambil.
“Mereka dipindahkan, mereka diturunkan pangkat, sesetengahnya diminta meletak jawatan. Ada juga yang dibuang,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Dzulkifli dan wanita terbabit berpegangan tangan dan memasuki sebuah restoran di Bali tersebar.
Bagaimanapun, beliau menafikannya dan mengatakan ia merupakan kempen memburuk-burukkannya oleh pihak yang berkenaan.
Ahli Parlimen Langkawi Nawawi Ahmad (BN) bagaimanapun mencelah kenyataan Gobind itu dengan menyentuh mengenai gambar-gambar sedemikian berkait dengan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang tersebar di laman sosial.
“Saya nak tanya Puchong, adakah kalau begitu, gambar-gambar yang diwujudkan (ada) di internet terhadap MB Selangor, kita ambil kisah juga (perlu diambil tindakan yang sama)? soal Nawawi.
Gobind bagaimanapun tidak menghiraukan soalan Nawawi itu, sebaliknya menegur wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak faham mengenai isu yang dikemukakan.
“Kalau nak siasat teruskan. Tapi itu masalah Langkawi (Nawawi). Most of the time you don’t understand what’s going on (Anda selalu tak faham apa yang jadi). Kerana itulah saya simpati dengan anda. Itu prestasi Ahli Parlimen dari BN,” katanya. – 31 Oktober, 2017.