Mangsa tipu beli rumah akan dapat wang semula, kata menteri
Iklan
PUTRAJAYA sedang membantu mangsa penipuan pembelian rumah untuk mendapatkan semula wang mereka, kata menteri.
Menurut Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Noh Omar, bantuan dari segi tuntutan sivil sedang diusahakan bagi usaha mendapatkan semula wang mereka.
“Kementerian berusaha bantu dari segi tuntutan sivil untuk dapatkan balik semula wang mereka daripada pemaju,” katanya semasa menjawab soalan tambahan dalam Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Hulu Langat Che Rosli Che Mat bertanya kepada Noh mengenai langkah yang diambil pihak kementerian untuk membantu mangsa penipuan rumah dalam mendapatkan semula wang mereka kerana kebanyakan mangsa terdiri daripada pesara kerajaan dan warga emas.
Noh berkata, setakat ini seramai 300 mangsa penipuan pembelian rumah sudah membuat aduan kepada pihak kementerian dan mereka sedang dibantu untuk mendapatkan semula wang mereka.
Jelasnya lagi, selain memberikan bantuan tuntutan sivil, pihak kementerian juga turut membantu mangsa penipuan dengan dua bantuan lain untuk memastikan mereka memiliki rumah untuk didiami.
“Dalam masa sama, kementerian juga akan bantu mereka daripada dua aspek, pertama bagi mereka yang tinggal dalam kawasan bandar, pihak kementerian akan memberi kelulusan khas kepada mereka untuk membeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Kedua, bagi yang ada tanah maka kementerian akan buat tawaran supaya mereka diberi kelulusan khas pinjaman perumahan. Kementerian akan beri RM60 ribu untuk mereka membina rumah mereka,” ujarnya lagi.
Noh berkata dengan bantuan ini ia diharapkan dapat meringankan beban mangsa penipuan rumah sementara menunggu mendapatkan semula wang mereka.
Selain bantuan kementerian, Noh juga berkata tindakan polis juga sedang diambil ke atas pemaju yang terlibat dalam penipuan menerusi pendakwaan dibawah Kanun Keseksaan Jenayah dan Akta Penggubahan Wang Haram.
Noh juga berkata pihak kementerian sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan penipuan rumah mampu milik yang dijalankan beberapa syarikat dibawah skim perumahan yang tidak sah. – 31 Oktober, 2017.