Putrajaya digesa selesaikan masalah Pati di Sabah
Iklan
PUTRAJAYA digesa untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang didakwa menjadi warga Sabah, memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir, kata pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).
Timbalan Presidennya Darell Leiking memberi salah satu contoh kenyataan dari individu di dalam laporan Jurnal Undang-undang Malaysia yang bernama Salman Majid, bahawa individu tersebut diberikan kad pengenalan dengan syarat mengundi Barisan Nasional (BN).
Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang itu turut menggesa supaya kerajaan memandang serius mengenai perkara itu.
“Ini testimoni beliau dan ditulis dalam Malaysia Law Journal (MLJ) bahawa beliau diberikan kad pengenalan dengan syarat beliau undi Barisan Nasional. Ini adalah masalah yang serius.
“Beliau (Salman) mungkin berada di Sabah pada hari ini. Mungkin beliau ada perniagaan beliau. Sebab beliau telah disahkan sebagai warga Sabah, walaupun beliau dilahirkan di Pakistan. Saya harap kerajaan boleh menjawab sama ada ini betul ataupun tidak,” katanya di sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Darell berkata, kes sebegini merupakan kes terbuka memandangkan ia terkandung dalam jurnal tersebut.
Katanya, kes Salman itu mewakili ribuan Pati yang menjadi warganegara dan menyumbang kepada populasi penduduk di Sabah secara tidak sah.
“Mungkin (mereka) dimasukkan dalam daftar pemilih (di) Sabah, yang kita kerap kali meminta kerajaan dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia) menghentikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian berikutan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan yang juga ahli Parlimen Kota Belud mengenai jumlah penduduk Sabah tahun ini mencecah 3.9 juta orang.
“Pada Ahad lalu, Parlimen Kota Belut mengumumkan Sabah sekarang ini pada tahun 2017, ada 3.9 juta penduduk.
“Ini adalah satu peningkatan penduduk. Sebab pada 2010, kita hanya ada 3.2 juta (penduduk). Dalam masa yang pendek lima hingga enam tahun kita ada 3.9 juta.
“Siapakah orang-orang ini? Adakah pendatang asing tanpa izin atau orang Sabah yang sebenar?” Soalnya.
Rahman dilaporkan berkata, jumlah itu menjadikan Sabah sebagai negeri yang mempunyai jumlah penduduk kedua tertinggi seluruh negara selepas Selangor.
Katanya, bilangan itu mencecah 12.1% daripada keseluruhan penduduk Malaysia. – 31 Oktober, 2017.