PTPTN diminta hapus caj pentadbiran kepada peminjam
Iklan
PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini diminta mempertimbangkan langkah penghapusan caj pentadbiran pinjaman terhadap mereka yang membuat pembayaran balik dengan kosisten.
Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz, caj tersebut perlu dikekalkkan kepada peminjam yang “degil”.
“Ketika ini saya difahamkan kadar yang dikenakan antara 1% sehingga 3%. Oleh itu, saya ingin mencadangkan ia dihapuskan khususnya kepada peminjam-peminjam konsisten yang membayar balik pinjaman.
“Kadar bunga ini boleh dikenakan kepada peminjam yang degil tetapi perlu dikaji semula bagi yang bersedia membayar balik pinjaman,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang mengulas mengenai insentif pembayaran PTPTN dalam pembentangan Bajet 2018 juga berkata, ia susulan terdapatnya peminjam yang terpaksa menanggung hutang pinjaman selama bertahun-tahun meskipun tidak pernah culas membayar sejak tamat pengajian.
Semasa membentangkan Bajet 2018 minggu lalu, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan lanjutan tempoh diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN selama setahun hingga 31 Disember tahun depan.
Bajet 2018 menawarkan tiga insentif diskaun kepada peminjam PTPTN, iaitu diskaun 20% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; diskaun 10% untuk bayaran sekurang-kurangnya separuh daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan diskaun 10% untuk bayaran balik melalui potongan gaji mengikut jadual bayaran balik ditetapkan.
“Ia memandangkan, sebagai contoh baru-baru ini seorang doktor perubatan memberitahu sebuah portal berita bagaimana dia membayar sebanyak RM50 sebulan kepada PTPTN selama 10 tahun sejak keluar universiti. Tapi sampai kini beliau belum dapat melangsaikan hutangnya sebanyak RM34,000,” katanya.
Antara 2011 hingga 2015, kerugian terkumpul PTPTN mencapai RM6.5 bilion.
Pada 2015, hutang PTPTN yang tidak berbayar bagi tahun itu mencapai RM8.49 bilion. Kadar pembayaran semula sekadar 46.6%.
Bagi mengatasi masalah ini, PTPTN menggunakan beberapa langkah termasuk menyenaraikan peminjam di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Ini menyebabkan mereka yang tidak membuat bayaran dihalang daripada membuat pinjaman rumah atau kereta, menyenaraihitamkan pasport mereka yang gagal membayar, menghentikan pemberian pinjaman penuh dan menggalakkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akaun kedua bagi salah satu penyelesaian melangsaikan hutang tersebut. – 31 Oktober, 2017.