Iklan

Moral, akhlak rakyat Malaysia masih mundur di ambang 2020

Mastura Malak5 years ago31st Dec 2019Berita
Jalur gemilang merdeka afp 310815
Usaha mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika itu merupakan salah satu daripada sembilan cabaran Wawasan 2020. – Gambar AFP, 31 Disember, 2019.
Iklan

MASIH banyak yang belum dicapai ketika Malaysia menjengah ke tahun baharu ditetapkan sebagai sasaran bagi Wawasan 2020, kata penganalisis.

Pengkaji ini melihat, masyarakat semakin mundur dari soal moral, akhlak dan nilai murni dalam kehidupan sejagat dan nilai etika juga semakin terhakis.

Selain itu, masyarakat nampaknya tiada prinsip tetap kerana tidak dipimpin dengan tauladan yang baik oleh ahli politik, kata penganalisis sosiopolitik Dr Awang Azman Awang Pawi.

“Ia merupakan satu cabaran yang dirasakan tidak dapat dicapai dalam Wawasan 2020 ini.

“Apabila isu etika politiknya, etika ekonominya, etika sosialnya tidak dipandu dengan baik, maka ia menyebabkan nilai etika dalam kalangan masyarakat terhakis dan hilang.

“Ia disebabkan masyarakat melihat etika itu sendiri dalam keadaan yang kacau bilau. Mahu ke barat tidak, mahu ke timur pun tidak,” kata beliau kepada The Malaysian Insight .

Jelasnya, usaha mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika itu merupakan salah satu daripada sembilan cabaran Wawasan 2020.

Namun dengan melihat sikap masyarakat pada masa ini, beliau percaya cabaran itu masih gagal disempurnakan.

Awang Azman memberi contoh krisis nilai yang timbul berkenaan iklan aplikasi mempertemukan lelaki kaya dan wanita muda SugarBook yang tular di media sosial.

Iklan yang dipamer di ruang awam di sekitar kawasan elit Bangsar dan Bukit Kiara tersebut meraih kontroversi kerana didakwa sebagai aplikasi pelacuran, walau dinafikan oleh pengendalinya.

Awang zAzman turut mengaitkan pendedahan isu liwat kepada masyarakat sejak lebih 20 tahun lalu yang menurutnya memberi impak besar kepada generasi dewasa masa kini.

“Apabila kerajaan pada ketika itu, memperkenalkan perkataan liwat, jadi ini memberi impak yang besar pada generasi kanak-kanak-remaja hingga ke orang dewasa,” katanya.

Istilah liwat itu diperkenal melalui tuduhan ke atas Anwar Ibrahim yang merupakan timbalan perdana menteri pada 1998.

Kes yang menarik perhatian meluas oleh masyarakat itu juga memecah-belahkan parti utama kerajaan waktu itu dan mencetus gerakan Reformasi.

Sementara itu Persatua Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula melihat peranan ibu bapa yang tidak mengendahkan anak-anak sebagai punca masalah membentuk nilai etika dan moral.

Ketua aktivisnya Nadzim Johan percaya masalah hakisan nilai etika itu tidak seharusnya dipikul di bahu kerajaan sahaja.

“Masyarakat sibuk mencari punca pendatan dan kerja tetapi bila apabila sentuh nilai yang dibentuk dari rumah, ramai yang gagal,” katanya.

Penganalisis sosiopolitik Dr Awang Azman Awang Pawi berkata masyarakat tiada prinsip tetap kerana tidak dipimpin dengan tauladan yang baik oleh ahli politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2019.

Malah tidak ramai yang mahu meluangkan masa dengan keluarga, tambahnya yang berpendapat ia berkait dengan pergelutan masyarakat untuk berdepan kos sara hidup yang tinggi.

Ia menyebabkan golongan ini terjebak dengan rasuah dan salah guna kuasa, katanya.

“Sebab apabila mereka bekerja, ibu bapa akan ingatkan anak supaya mendapatkan kerja yang bagus dan gaji yang tinggi untuk teruskan kehidupan, itu sahaja.

“Jarang ibu bapa sentuh isu keberkatan mencari rezeki, dari mana sumber pendapatan diperolehi. Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang ini, ramai yang tidak kisah soal halal haram.

“Ramai terlibat dengan rasuah, korupsi, salah guna kuasa dan macam-macam lagi demi kepentingan diri dan keluarga mereka sendiri,” katanya lagi.

Beliau yang banyak berusaha menyelamatkan individu daripada hutang lintah darat mengaitkan etika masyarakat dalam mencari rezeki itu dengan kes-kes penipuan.

“Hari ini kita tengok dari segi perniagaan pula, kalau boleh kita tipu, tipu lah. Jangan sampai kena tangkap je. Mentaliti orang sekarang, kau nak buat jahat, buat lah, itu urusan kau.

“Jadi kita kena berbalik kepada mencari nilai dalam kehidupan itu sendiri. Apabila minda kita baik jadi kita akan dapat lebih kebaikan,” jelas Nadzim lagi.

Kes penipuan itu semakin berleluasa, terutama di dalam talian yang merekodkan jumlah lebih 8,000 kes sepanjang 2018 dengan kerugian dialami mangsa lebih RM299 juta.

Selain itu, pelbagai kes salah laku, rasuah dan salah guna kuasa dihadapkan ke mahkamah melibatkan tokoh politik ternama.  

Sementara itu kalangan orang awam yang ditemui The Malaysian Insight juga kecewa kerana Malaysia masih lagi tertumpu kepada kes seperti skandal seks dan liwat.

Perkara itu tidak membantu Malaysia mencapati Wawasan 2020, kata Fatimah Noor, 45.

“Macam mana mahu capai Wawasan 2020, Kalau Malaysia lebih tertumpu pada skandal seks, liwat dan macam-macam lagi,” kata kakitngan kerajaan itu.

Sependapat dengannya seorang pekerja swasta Deborah Lee yang kecewa dengan sikap sambil lewa masyarakat dalam soal sivik seperti menjaga kebersihan.

“Saya kecewa juga kerana sikap moral masyarakat yang tidak diperbaiki. Masih buang sampah merata, conteng tandas.

“Kadang-kadang mereka yang suka buang sampah merata-rata ini bukanlah golongan yang buta, kebanyakan dari kalangan yang cerdik pandai.

“Walaupun kerajaan sudah buat undang-undang jangan merokok di kawasan kedai makan, tetapi saya lihat masih ada lagi yang buang puntung rokok merata-rata,” kata Deborah.

Wawasan 2020 diperkenalkan pada tahun 1991 bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

Antara sembilan cabaran yang digariskan untuk dicapai menjelang 2020 adalah mewujudkan negara yang bersatu, masyarakat berjiwa bebas, dan masyarakat demokratik.

Menjelang tahun itu juga Malaysia sepatutnya mempunyai masyarakat bermoral dan beretika, liberal, progresif dan sainstifik, penyayang, adil dalam bidang ekonomi juga makmur.

Kempen tersebut dilancarkan ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat.

Oktober lalu, Dr Mahathir yang kembali sebagai perdana menteri ketujuh menyatakan Wawasan 2020 gagal dicapai kerana kerajaan terdahulu fokus kepada pendapatan tinggi dan bukannya status negara maju.

Justeru, beliau melancarkan gagasan baharu Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030.

Ia adalah kelangsungan kepada Wawasan 2020, mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan keadaan yang berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang. – 31 Disember, 2019.

Iklan
Iklan