Permohonan Najib, Rosmah batalkan saman balu PI Bala 7 Disember
Iklan
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan Perdana Menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan tujuh yang lain pada 7 Disember untuk membatalkan saman balu penyiasat bebas mendiang P Balasubramaniam kerana terpaksa melarikan diri dari Malaysia pada 2008.
Peguam Americk Sidhu yang mewakili A Santamil Selvi berkata tarikh sudah ditetapkan selepas pengurusan kes dibuat di hadapan Hakim Hue Siew Kheng di kamarnya.
Sementara itu, peguam Sara Abishegam daripada firma Shafee & Co yang mewakili ahli perniagaan Deepak Jaikishan, diberikan tempoh sehingga 6 November untuk memfailkan pembelaan.
Santamil menamakan Najib, Rosmah, Deepak dan dua adik Najib, Nazim dan Johari, peguam Sunil Abraham, Cecil Abraham, Arunampalam Mariampillai dan pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat sebagai penama dalam samannya.
“Kesemua defendan kecuali Deepak sudah memfailkan pembelaan dan mereka menafikan dakwaan Santamil,” kata Americk kepada pemberita hari ini.
Santamil sebelum ini memfailkan saman terhadap Najib, Rosmah dan tujuh yang lain buat kali kedua atas alasan mengalami kesengsaraan disengajakan akibat terpaksa meninggalkan Malaysia dan tinggal di India.
Santamil yang bertindak mewakili harta pusaka Balasubramaniam dan anak mereka berkata, kesemua sembilan defendan memaksa mereka meninggalkan rumah di Malaysia dan kehilangan kehidupan normal, selain mengalami kerugian kewangan dan bukan kewangan.
Mereka mendakwa mengalami trauma dan penderitaan mental yang disebabkan oleh defendan dan kehilangan tempat berteduh di persekitaran biasa.
Santamil bersama dua anaknya, Kishen dan Menaga menuntut ganti rugi dengan faedah kerugian yang dialami sejak Julai 2008 ekoran persekitaran dilalui mereka selama lima tahun.
Balasubramaniam, lebih dikenali sebagai PI Bala, sebelum ini terlibat dalam kontroversi dua akuan berkanun (SD) yang bercanggah berhubung isu pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Dalam saman itu, keluarga tersebut berkata defendan menyebabkan SD kedua Balasubramaniam dirangka tanpa arahannya dan seterusnya menyebabkan beliau menandatanganinya di bawah situasi berancaman dan paksaan.
Beliau terpaksa meninggalkan Malaysia untuk ke India secara tergesa-gesa selepas menandatangani SD kedua pada Julai 2008, sehari selepas yang pertama dikeluarkan.
SD kedua bertarikh 4 Julai, 2008 membersihkan Najib daripada sebarang penglibatan dalam kes itu.
Balasubramaniam dalam SD kedua berkata beliau ingin menarik balik keseluruhan kandungan SD pertama bertarikh 1 Julai kerana ia dibuat di bawah tekanan.
Pada 3 Julai, 2008 Balasubramaniam memberitahu sidang akhbar diuruskan PKR bahawa kandungan SD pertama yang membabitkan Najib dan beberapa yang lain dalam pembunuhan Altantuya adalah benar.
Balasubramaniam, saksi utama dalam perbicaraan Altantuya, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac, 2013, beberapa minggu selepas pulang dari India.
Beliau pernah bekerja untuk penganalisis politik dan rakan kongsi Najib, Abdul Razak Baginda yang mengupahnya untuk memantau Altantuya sebelum kehilangannya.
Pada Jun 2014, Santamil dan tiga anaknya memfailkan saman konspirasi selepas penemuan bukti baharu muncul untuk membabitkan kesemua sembilan defendan dalam melakukan kesalahan yang dikatakan terhadap mereka.
Pada Disember 2014, Mahkamah Tinggi mengetepikan saman itu kerana Santamil tidak memperoleh surat pentadbiran untuk mewakili harta pusaka suaminya.
Mahkamah juga memutuskan saman itu tidak mempunyai asas tindakan kerana bahan sokongan hilang.
Mahkamah Rayuan menolak notis rayuan Santamil atas alasan lapan notis rayuan yang berasingan sepatutnya difailkan.
Bagaimanapun, mahkamah rayuan kemudiannya mendengar rayuan terhadap Deepak kerana beliau tidak memohon untuk membatalkan notis rayuan tersebut.
Mahkamah Rayuan mengetepikan bantahan terhadap Deepak dan memerintahkan perbicaraan untuk meneruskan di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, rayuan Deepak di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dibenarkan, dengan jelas menandakan saman Santamil berakhir. – 1 November, 2017.