Iklan

300,000 orang India tiada warganegara bukan spekulasi

Yasmin Ramlan7 years ago1st Nov 2017Berita
Charles santiago klang tmikamal 02
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata kerajaan perlu mengambil serius isu membabitkan 300,000 kaum India di negara ini yang tidak mempunyai hak kewarganegaraan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2017.
Iklan

KERAJAAN perlu mengambil serius isu membabitkan 300,000 kaum India di negara ini yang tidak mempunyai hak kewarganegaraan, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Beliau berkata Perdana Menteri Najib Razak perlu berhenti mengatakan jumlah 300,000 kaum India di Malaysia tanpa warganegara hanya spekulasi, sebaliknya isu itu perlu diselesaikan secepat mungkin.

“Kerajaan melancarkan inisiatif MyDaftar pada Februari 2011 dan yang terbaharu, Mega MyDaftar pada Jun 2017 untuk menyelesaikan isu dokumentasi yang dihadapi komuniti India.

“Setelah tempoh enam tahun, isu itu tidak menampakkan jalan penyelesaian kerana bagi setiap kaum India yang daftar (dalam program itu), mungkin terdapat tiga lagi (tanpa warganegara) tidak berbuat demikian atas sebab tertentu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Najib semalam berkata dakwaan pembangkang yang menjaja kononnya terdapat kira-kira 300,000 kaum India di negara ini yang terabai dan teraniaya tanpa memiliki hak kewarganegaraan, terbukti tidak benar menerusi kempen Mydaftar Mega yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata dakwaan itu hanyalah pembohongan semata-mata memandangkan hanya kira-kira 2,500 saja permohonan diterima daripada kaum India yang tidak memiliki kewarganegaraan termasuk mereka yang lahir sebelum kemerdekaan serta kelahiran tidak didaftarkan.

“Saya harap Najib berhenti kata jumlah 300,000 kaum India tanpa warganegara hanya spekulasi pembangkang, tapi beliau perlu fokus menyelesaikan masalah kes yang tertangguh itu,” katanya.

Charles berkata isu itu harus diselesaikan secepat mungkin kerana ia menyukarkan seseorang tersebut yang tidak memiliki hak warganegara.

Beliau memberi contoh penduduk di kawasan Parlimennya yang datang berjumpanya untuk membantu mendapatkan hak kewarganegaraannya meskipun sudah memohon pada 2014, kerana anak kepada wanita itu tidak layak menikmati buku teks di sekolah ekoran statusnya itu.

Ini kerana jika seseorang ibu itu tidak memiliki hak kewarganegaraan, maka anaknya juga tidak layak menerima kewarganegaraan.

“Mereka ini keluarga miskin dan mereka tinggal di flet kos rendah.

“Walaupun usaha kerajaan menjalankan pendaftaran itu (Mega MyDaftar) perkara yang patut dipuji. Najib dan menterinya tidak wajar membuat kesimpulan bahawa dakwaan pembangkang mengenai beratus ribu kaum India tanpa warganegara adalah tidak benar.

“Isu ini tidak patut dipolitikkan kerajaan atau menggunakannya pada pilihan raya nanti,” katanya. – 1 November, 2017.

Iklan
Iklan