Iklan

Amanah fail semakan kehakiman, cabar pelantikan Raus sebagai ketua hakim

Amin Iskandar7 years ago1st Nov 2017Berita
Amanah mahkamah kl 1 nov
Sebahagian pemimpin Amanah dan peguam yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi memfailkan saman untuk mendapatkan perintah deklarasi yang pelantikan Md Raus Sharif sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan sebagai tidak berperlembagaan. – Gambar The Malaysian Insight, 1 November, 2017.
Iklan

SATU lagi saman difailkan tetapi kali ini bagi mendapatkan perintah supaya Md Raus Sharif memberikan justifikasi di atas otoriti apakah beliau masih menjawat jawatan hakim tambahan dan kekal sebagai ketua hakim negara selepas bersara. 

Dalam permohonan “quo warranto” yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, pemohon, Timbalan Setiausaha Agung Amanah, Abang Kerdee Abang Masagus mahu mendapatkan perintah deklarasi yang pelantikan Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan sebagai tidak berperlembagaan.

Abang Ahmad juga menuntut perintah deklarasi yang pelantikan Raus sebagai ketua hakim negara tidak sah mengikut Perkara 125.

Peguam Amanah, Mohamed Hanipa Maidin berkata anak guamnya mahu Raus memberikan penjelasan otoriti beliau menjawat jawatan hakim tambahan dan ketua hakim negara.

“Kami tidak mencabar proses pembuatan keputusan pelantikan itu tetapi hanya mempersoalkan otoriti Raus untuk kekal menjawat kedua-dua jawatan tersebut,” kata Hanipa yang juga ahli Parlimen Sepang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Hanipa, anak guamnya perlu mendapat kebenaran daripada mahkamah sebelum kes itu didengar.

Julai lalu, Raus dilantik sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan untuk tempoh tiga tahun lagi berkuatkuasa 4 Ogos.

Selain menjadi hakim tambahan turut dikekalkan sebagai ketua hakim negara.

Selain Raus, Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin juga dilantik sebagai hakim tambahan untuk Mahkamah Persekutuan bagi tempoh dua tahun bermula 28 September 2017.

Zulkefli juga akan terus memegang jawatan presiden Mahkamah Rayuan.

Pelantikan itu dilakukan sebelum tarikh persaraan wajib mereka tahun ini pada usia 66 tahun dan enam bulan.

Abang Ahmad berkata, Raus hanya boleh memegang jawatan ketua hakim negara jika beliau adalah hakim Mahkamah Persekutuan yang sah dan belum mencapai umur persaraan.

Selepas dinasihatkan peguam, Abang Ahmad percaya Raus tidak boleh dilantik semula sebagai ketua hakim negara buat kali kedua dengan dilantik sebagai hakim tambahan.

Menurutnya, Raus hanya boleh dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai hakim tambahan oleh ketua hakim negara yang masih bertugas.

Bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria yang bersara pada 31 Mac berkata beliau hanya mencadangkan kepada Agong agar Raus dan Zulkefli dilantik sebagai hakim tambahan.

Pada 9 Ogos, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut memfailkan permohonan arahan mahkamah untuk memaksa Perdana Menteri Najib Razak menasihati Agong untuk menarik balik pelantikan Raus sebagai hakim tambahan dan ketua hakim.

Sebelum itu pada 3 Ogos, Majlis Peguam dalam undian besarnya tidak meletakkan keyakinan terhadap Raus dan Zulkefli dan juga memperoleh mandat untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap kedua-duanya.

Majlis itu juga bertegas enggan menjemput Zulkelfi dan Raus ke mana-mana majlis sosial anjuran mereka.

Presidennya, George Varughese berkata Majlis Peguam juga berpendirian hakim Mahkamah Persekutuan tidak sepatutnya mendengar perbicaraan kes itu kerana mempunyai konflik kepentingan.

Beliau menggesa Hakim Besar Malaya, Ahmad menguatkuasakan Perkara 131A, dibaca bersama Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, yang membenarkan hakim paling kanan menjalankan kuasa ketua hakim negara semasa ketidakupayaan atau ketiadaannya.

Beliau berkata disebabkan ketidakupayaan Raus dan Zulkefli, Ahmad sebagai hakim paling kanan seterusnya dalam badan kehakiman, boleh bertindak menjalankan kuasa sebagai ketua hakim dan memberi nasihat kepada Agong. – 1 November, 2017.

Iklan
Iklan