Iklan

Putrajaya digesa dedah jumlah diterima daripada Geely beli 49.9% saham Proton

Yasmin Ramlan7 years ago1st Nov 2017Berita
Iklan

PEMIMPIN DAP menggesa Putrajaya bersikap telus dan mendedahkan secara terperinci jumlah yang dibayar oleh syarikat automotif terkemuka China, Geely Holding untuk membeli 49.9% saham Proton Holding Berhad.

Menurut Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, rakyat berhak mengetahui jumlah bayaran yang diperoleh daripada urus niaga tersebut.

“Saya minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Mustapa Mohamed) beri jawapan mengenai RM13.9 bilion yang merupakan duit rakyat.

“Kita jual share (saham), tapi tak tahu berapa duit yang kita terima daripada China,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Putrajaya sebelum ini menyatakan kerajaan memberi bantuan berjumlah RM13.9 bilion yang merangkumi geran, pengecualian cukai termasuk bantuan-bantuan lain bukan fiskal.

Teo bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan lisan Mustapa pada 31 Oktober kerana ia tidak menjawab soalannya.

Jawapan itu tidak menyatakan jumlah sebenar 49.9% tersebut, sebaliknya berkata Proton akan menerima suntikan tunai sebanyak RM170.3 juta daripada Geely.

“Pada 24 Mei 2017, syarikat DRB-Hicom  mengumumkan Geely sebagai rakan kongsi strategik Proton dengan menandatangani Heads of Agreement dan penjualan ekuiti sebanyak 49.9%. DRB-Hicom masih kekal sebagai pemegang ekuiti terbesar sebanyak 50.1%.

“Pada 23 Jun 2017 pula, DRB-Hicom menyempurnakan perkongsian strategik tersebut dengan menandatangani Definitive Agreement dengan pihak Geely.

“Hasil perolehan Geely sebanyak 49.9% saham dalam Proton Holdings, Proton akan menerima suntikan tunai sebanyak RM170.3 juta daripada Geely serta pemberian platform model SUV terbaharu iaitu model Boyle yang dianggarkan bernilai RM290 juta,” menurut jawapan lisan tersebut. – 1 November, 2017.

Iklan
Iklan