Iklan

Seperti Johor, Putrajaya juga mesti banteras kebencian

The Malaysian Insight7 years ago1st Nov 2017Editorial
Iklan

TIDAK seperti Putrajaya, Sultan Johor mengambil tindakan tegas melarang dua pendakwah Islam, Ismail Menk dan Ustaz Haslin Baharim, daripada berceramah di negeri itu selepas Singapura memutuskan menyekat mereka daripada memasuki republik itu.

Alasan yang dipegang oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mudah: Mereka berdua boleh menjejaskan hubungan dan keseimbangan kaum serta agama di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata larangan itu adalah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang dikeluarkan hari ini.

“Kandungan ceramah yang pernah disampaikan oleh kedua-dua penceramah sebelum ini dilihat boleh membawa kegelisahan dalam keharmonian kaum.

“Jabatan Agama Johor akan terus memantau perkembangan ceramah agama di negeri ini, bagi memastikan tiada elemen atau pandangan yang menggalakkan perpecahan kaum disampaikan,” katanya, seperti dipetik oleh portal berita BH Online.

Pandangan Istana Johor itu bagaimanapun tidak dikongsi oleh Putrajaya apabila Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya tiada masalah dengan ceramah mereka walaupun ada larangan di Singapura.

Ismail Menk, mufti Zimbabwe manakala Haslin warganegara Malaysia. Mereka dijadual mengikuti percutian bertemakan Islam dengan sebuah kapal persiaran yang sepatutnya berlepas dari Singapura hujung bulan ini.

Semua raja-raja di Malaysia ada ketua agama Islam di negeri masing-masing, menjadikan titah mereka sebagai keputusan muktamad dalam isu-isu mengenai agama Islam. Mereka juga lambang perpaduan rakyat yang bernaung di bawah pemerintahannya.

Barangkali atas rasa tanggungjawab dan demi keadilan kepada semualah yang menimbulkan kesedaran pada Sultan Johor tentang ancaman yang berbangkit daripada pendakwah yang menyebarkan kebencian dan bukannya keharmonian antara agama.

Kalau diikut-ikutkan, kerajaan yang memerintahlah yang sepatutnya memantau ucapan dan dakwah kebencian yang boleh memecah belahkan kaum dan agama di Malaysia. Bukannya hanya sultan.

Mengabaikannya boleh mendatangkan risiko kekacauan dalam negara.

Setakat ini, ada cukup kes-kes keganasan di serata dunia, yang terbaru di New York awal hari ini, yang tercetus akibat pengaruh mereka yang menanam benih dan menyebar kebencian dari atas mimbar atau melalui video di Internet.

Sultan Johor menyedarinya, sama sepertimana Singapura percaya, bahawa penyebaran ucapan seperti itu tidak baik untuk negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama.

Kerajaan Najib Razak juga perlu menyedari keadaan ini dan bertindak yang sewajarnya bagi mengelakkan perpecahan yang disebabkan oleh mereka yang menyebarkan kebencian.

Johor bernasib baik kerana ia ada seorang raja berperlembagaan yang proaktif yang melindungi rakyatnya.

Rakyat Malaysia seluruhnya juga sepatutnya sama-sama bernasib baik, dengan sebuah kerajaan yang juga proaktif seperti Sultan Johor.

Jika tidak, Malaysia hanya menggalakkan mereka yang cuba memecah belahkan kita dan menghancurkan keamanan dan keharmonian. – 1 November, 2017.

Iklan
Iklan