Iklan

Najib berpotensi jadi saksi dalam kes saman PAS terhadap Clare

Amin Iskandar7 years ago1st Nov 2017Berita
Najib razak nazir 02
Perdana Menteri Najib Razak mungkin dipanggil oleh PAS atau Clare Rewcastle-Brown sebagai saksi untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan saman presiden parti itu, Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2017.
Iklan

AHLI Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin mengatakan Perdana Menteri Najib Razak berpotensi menjadi saksi dalam kes saman Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown berhubung dakwaan menerima dana RM90 juta.

Bekas peguam PAS yang kini bersama Amanah berkata, Najib mungkin dipanggil PAS atau Rewcastle-Brown sebagai saksi untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan itu.

“Ya, saya boleh katakan Najib berpotensi sebagai saksi dalam saman itu dan mungkin dipanggil untuk memberikan keterangan,” katanya kepada pemberita apabila ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hanipa berkata, Najib perlu disoal balas dan perlu hadir semasa prosiding berjalan.

Pada 21 April lalu, PAS memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London susulan laporan Sarawak Report pada Ogos 2016 yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Najib “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Hanipa berkata, pengalamannya menyaksikan perbicaraan di United Kingdom memperlihatkan bagaimana saksi disoal balas selama berhari-hari dan menambah, perbicaraan di sana juga menggunakan sistem juri.

Disebabkan itu Hanipa berkata, beliau tidak faham mengapa Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendesak Ambiga Sreenevasan mendedahkan sumber maklumatnya.

Hanipa berkata, Ambiga yang juga berpotensi menjadi saksi tidak perlu berkata apa-apa pada waktu ini.

“Ambiga boleh memberikan keterangan di mahkamah dan tidak perlu memberikan penjelasan di sini,” kata pemimpin Amanah itu.

PAS menggesa Ambiga memberi penjelasan mengenai dakwaan beliau menjadi pemberi maklumat kepada Rewcastle-Brown mengenai kepimpinan parti Islam itu yang didakwa menerima RM90 juta daripada Najib.

Takiyuddin berkata, penjelasan bekas pre­siden Majlis Peguam Malaysia itu penting bagi memberi gambaran sebenar dakwaan tersebut.

Dalam kenyataan pembelaan terhadap tuntutan balas yang diberikan kepada The Malaysian Insight Rewcastle-Brown berkata beliau ada bercakap dengan Ambiga yang juga bekas Pengerusi Bersih itu mengenai Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PAS pada Julai 2016. – 1 November, 2017.

Iklan
Iklan