Pandikar cuba ketepi saman pemimpin PKR kerana tolak soalan 1MDB
Iklan
SPEAKER Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah hari ini memfailkan permohonan mengetepikan saman Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian kerana tidak dapat bertanya soalan berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara ini didedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Kamaludin Md Said yang menetapkan tarikh 8 Januari ini bagi mendengar permohonan Pandikar.
Hee, ahli Parlimen dua penggal PKR memfailkan permohonan mencabar keputusan speaker tidak membenarkan beliau bertanyakan soalan berkaitan 1MDB.
Pandikar pada ketika ini berdepan kritikan pembangkang selepas menolak lebih 30 soalan berkaitan 1MDB dalam sesi terkini Dewan Rakyat.
Pandikar berhujah perkara itu tidak wajar dibawa ke mahkamah kerana Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan keistimewaan Parlimen “bahawa apa-apa prosiding di Dewan Rakyat tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah”.
Bagaimanapun Hee berkata, penolakan speaker itu menghalangnya dan wakil rakyat lain daripada menjalankan tanggungjawab bertanya soalan bagi pihak pengundi yang diwakilinya berkaitan 1MDB, sekali gus menafikan fungsi Parlimen.
Pandikar diwakili peguam kerajaan Sallehuddin Md Ali mewakili manakala Hee diwakili Latheefa Koya. – 1 November, 2017.