Iklan

Bekas MB Selangor cadang BR1M diberi berdasarkan sumbangan individu kepada negara

Yasmin Ramlan7 years ago1st Nov 2017Berita
Iklan

SUBSIDI seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sewajarnya diberikan kepada individu berdasarkan sumbangan dan produktiviti mereka kepada negara, cadang bekas Menteri Besar Selangor, Ahmad Khalid Ibrahim kepada Putrajaya.

Beliau membandingkan produktiviti pekerja di Malaysia yang ketika ini pada tahap 3.5% berbanding Vietnam 6% dan kemampuan meningkatkannya kepada 7% akan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Saya cadangkan satu pasukan petugas majlis ekonomi untuk mengkaji bagaimana menggunakan subsidi dan bantuan sosial ini dapat digubah dan dilaksanakan supaya ia dapat menggerakkan produktiviti,” katanya.

Menurut Khalid, melalui kaedah itu peruntukan belanjawan tidak perlu ditambah.

“Salah satu idea yang boleh diterjemahkan adalah macam mana bonus diberi boleh meningkatkan produktiviti dengan menggunakan subsidi bantuan sosial,” katanya ketika sesi berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut memberi contoh pemberian BR1M yang diberikan dengan kadar maksimum RM1,200 kepada 7 juta penerima dengan peruntukan RM6.8 bilion, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 pada Jumaat lalu.

“Bayangkan kita bagi BR1M sebanyak RM1,200 kepada lebih 7 juta penerima. Jika diterjemahkan kepada 10 jam (bekerja) saja, kita sudah dapat 70 juta waktu bekerja yang boleh menambahkan pengeluaran dan produktiviti.

“Tidaklah kita bagi subsidi dan bantuan secara percuma tetapi menggalakkan pengeluaran dan menghasilkan subsidi tersebut. Penerima BR1M mesti menunjukkan sumbangan kepada usaha pembangunan kerjaya mereka,” katanya.

“Tujuan saya ialah apabila kita buat belanjawan, kita menggerakkan masyarakat berdikari dan bekerja. Hasilnya, mereka mendapat apa yang dipanggil balasan ataupun pampasan.

“Dengan lain perkataan, tidak ada apa yang percuma tetapi kita mestilah menggerakkan diri untuk mendapatkan subsidi dan berusaha,” katanya.

Bajet yang digelar Najib sebagai “ibu segala bajet” itu memperuntukkan RM46 bilion atau 16% daripada RM280.25 bilion untuk pembangunan. – 1 November, 2017.
 

Iklan
Iklan