Iklan

Pakatan berdepan 'cabaran sebenar' di 122 kerusi Melayu, kata Merdeka Centre

Bede Hong5 years ago5th Jan 2020Berita
Tanjung piai 20191115 hasnoor 005
Sokongan diterima Pakatan Harapan pada PRU14 semakin merudum kerana punca sebenar kemarahan rakyat tidak ditangani dengan baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2020.
Iklan

SOKONGAN pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan berada pada “tahap getir” disebabkan kebangkitan politik identiti dan kurang kepercayaan antara kumpulan etnik, kata laporan terbaru Merdeka Centre. 

Dalam laporan Januari bertajuk “Malaysia Political Developments and Trajectories Update”, pusat kajian itu berkata sokongan awam terhadap dasar kerajaan masih lagi dipengaruhi pelbagai faktor sosio ekonomi.

“Keyakinan naik seketika selepas pilihan raya 2018 tetapi sejak itu merudum selepas pengenalan cukai jualan, pemotongan subsidi, penangguhan janji pilihan raya, dan kelembapan ekonomi,” katanya.

“Kadar perubahan yang perlahan tetapi kitaran berita yang sangat pantas pula membentuk tanggapan yang PH tidak banyak berusaha.

“Pembangkang dikukuhkan dengan kerjasama BN dan PAS; memaksa PH menangguhkan beberapa pembaharuan (seperti ratifikasi Icerd). Ini adalah ancaman sebenar di 122 kerusi Melayu,” tambahnya.

Laporan itu berdasarkan tinjauan dijalankan pada minggu akhir bulan November lalu.

PH kini memegang 139 daripada 222 kerusi Parlimen, Barisan Nasional (41) dan PAS pula memegang 18 kerusi. Manakala, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula memegang 18 kerusi.

Politik identiti dimainkan kumpulan Melayu seperti Muafakat Nasional PAS dan Umno semakin bertapak di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2020.

Merdeka Centre juga mendapati isu kaum dan agama semakin banyak dimainkan dan boleh mendapat tempat dalam kalangan pengundi melainkan PH menangani punca sebenarnya seperti isu ekoomi, pekerjaan dan pertumbuhan gaji yang terbantut.

Pesaing PH juga mengemukakan cabaran hebat setiap hari, terutamanya daripada kumpulan hak Melayu manakala janji populis yang dibuat sebelum ini membentuk harapan palsu yang menimbulkan kemarahan, kata laporan itu lagi.

Merdeka Centre menyenaraikan beberapa faktor yang menyebabkan kekurangan sokongan orang Melayu kepada PH seperti: PH kurang berhubung dengan akar umbi Melayu; kelemahan jentera akar umbi Melyu di Bersatu, Amanah dan PKR; tarikan kuat ideologi Umno dan PAS; serta mesej pelbagai budaya diberikan PH yang gagal diterima orang Melayu.

Sementara itu, politik identiti juga semakin mendapat tempat, kata laporan itu lagi: “Umno dan PAS menyedari dengan bekerjasama, mereka boleh mendapat sokongan majoriti Melayu dan merampas sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen (berdasarkan PRU2018).”

Manakala, kerajaan PH yang bergelut tekanan berterusan menangani hakisan sokongan pengundi Melayu mencetuskan konflik dalaman dengan parti bukan Melayu dalam pakatan itu.

Bagaimanapun, laporan mengakui kerjasama PAS dan Umno dibuat kerana kepimpinan dan kedua-dua parti itu berdepan “tekanan hebat” untuk mengekang kehilangan percaya dalam kalangan ahlinya.

“(Kerjasama Umno-PAS) dilihat digunakan pemimpinnya untuk melindungi kepentingan peribadi berbanding parti. Ia mungkin memberikan alasan kepada kumpulan tidak berpuas hati daripada keluar Umno dan masuk Pakatan Harapan/Bersatu.” – 5 Januari, 2020.

Iklan
Iklan